Jerebu: Indonesia batal lima lesen perniagaan, kesan 555 titik panas

Indonesia turut mempergiat langkah pencegahan melalui pembasahan semula tanah gambut, penyediaan tanah tanpa pembakaran serta penubuhan kumpulan baharu Masyarakat Peduli Api. - FOTO: Agensi
Indonesia turut mempergiat langkah pencegahan melalui pembasahan semula tanah gambut, penyediaan tanah tanpa pembakaran serta penubuhan kumpulan baharu Masyarakat Peduli Api. - FOTO: Agensi
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 555 titik panas dikesan di lima wilayah Indonesia ketika negara itu memperhebat operasi pemadaman kebakaran hutan dan tanah bagi mengurangkan kesan jerebu rentas sempadan yang turut menjejaskan Malaysia ketika ini.

Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur berkata, dapatan itu diperoleh menerusi pemantauan selama 24 jam melalui sistem Sipongi yang menggabungkan data tiga satelit utama, dengan tahap keyakinan tinggi, setakat 6 Oktober lalu.

Menurut kedutaan itu, Kalimantan Tengah merekodkan jumlah tertinggi dengan 336 titik panas, diikuti Sumatera Selatan (142), Kalimantan Barat (48), Kalimantan Selatan (28) dan Jambi (satu).

"Daripada jumlah itu, kawasan seluas 560.60 hektar berjaya dipadamkan menerusi tindakan Pasukan Petugas Darat dan Pasukan Petugas Udara, bersamaan kira-kira 75 peratus daripada keseluruhan sasaran pemadaman.

"Pemerintah Indonesia menyedari sepenuhnya kepentingan kualiti udara bersih terhadap kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.

“KBRI Kuala Lumpur turut menyatakan keprihatinan mendalam serta simpati kepada kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia susulan kesan kebakaran hutan dan tanah, terutamanya penurunan kualiti udara dan jerebu yang menjejaskan aktiviti harian serta berpotensi memberi kesan kepada kesihatan penduduk di beberapa kawasan di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, sebanyak 35 helikopter pengeboman air digerakkan bagi memadamkan kebakaran dari udara, khususnya di Kalimantan Selatan, Sumatera Selatan dan Jambi.

Dalam perkembangan berkaitan, pemerintah Indonesia menetapkan status tanggap darurat di Kalimantan Tengah, manakala status siaga darurat dilaksanakan di tujuh wilayah iaitu Riau, Sumatera Selatan, Jambi, Kalimantan Selatan, Kalimantan Barat, Nusa Tenggara Barat dan Kalimantan Timur.

Dalam aspek penguatkuasaan, Polis Republik Indonesia mengendalikan 247 laporan polis melibatkan individu dengan 198 individu ditetapkan sebagai suspek, selain memproses 97 laporan polis membabitkan syarikat atau korporat.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Alam Sekitar Indonesia turut mengenal pasti 57 entiti perniagaan yang mempunyai kawasan terbakar dalam konsesi masing-masing, melibatkan keluasan keseluruhan 33,514.01 hektar.

Daripada jumlah itu, 41 entiti perniagaan di Kalimantan membabitkan kawasan seluas 29,700.16 hektar, manakala 16 entiti di Sumatera melibatkan 3,813.85 hektar.

Sementara itu, tindakan pentadbiran dikenakan terhadap 26 pihak, termasuk pembatalan lima lesen perniagaan, penggantungan 13 lesen serta lapan tindakan berbentuk amaran bertulis atau arahan pemulihan.

Indonesia turut mempergiat langkah pencegahan melalui pembasahan semula tanah gambut, penyediaan tanah tanpa pembakaran serta penubuhan kumpulan baharu Masyarakat Peduli Api.

Bagi menangani kesan terhadap kesihatan penduduk, kemudahan kesihatan di kawasan terjejas turut diletakkan dalam keadaan siap siaga, selain bekalan ubat-ubatan dan logistik serta penyediaan Rumah Oksigen untuk masyarakat, khususnya golongan rentan.

Jelas kenyataan itu, pemerintah Indonesia menyambut baik usaha memperkukuh kerjasama dengan Malaysia dan negara sahabat dalam menangani kebakaran hutan dan lahan serta jerebu rentas sempadan.

Ujarnya, perwakilan Republik Indonesia di Malaysia akan terus memudah cara komunikasi dan pertukaran maklumat berkaitan perkembangan operasi serta usaha menangani kebakaran berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!