Kes Irene Sofiya: Kita makin jauh dari wahyu?

SEKOLAH sepatutnya menjadi tempat yang selamat buat para pelajar. Gambar kecil: DR MOHD SHAFIQ
SEKOLAH sepatutnya menjadi tempat yang selamat buat para pelajar. Gambar kecil: DR MOHD SHAFIQ
A
A
A

SAYA mengikuti tragedi yang menimpa Allahyarhamah Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, yang meninggal dunia selepas ditemukan tidak bermaya di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor, baru-baru ini, dengan penuh dukacita.

Beliau merupakan seorang anak muda, pelajar dan anak yang mempunyai keluarga, impian serta masa depan yang cerah. Apabila satu nyawa diragut, yang hilang bukan sekadar seorang manusia; sebuah keluarga kehilangan ahli tercinta, ibu bapa kehilangan anak tersayang dan masyarakat kehilangan satu kehidupan yang sepatutnya masih panjang.

Namun di sebalik kesedihan ini, saya tertanya-tanya: Sampai bilakah kita hanya akan berbincang tentang jenayah selepas nyawa terkorban?

Islam telah lama memberikan panduan yang sangat jelas tentang bagaimana nyawa manusia mesti dilindungi melalui firman ALLAH SWT: “Dan dalam pelaksanaan qisas itu ada jaminan kehidupan bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah: 179)

Perhatikan bagaimana ALLAH SWT menyebut “Qisas itu ada kehidupan.” Qisas bukan sekadar hukuman. Ia ialah sebahagian daripada sistem keadilan yang bertujuan melindungi kehidupan dan menjadi pencegah kepada manusia daripada mengambil nyawa orang lain secara zalim.

Namun kita jangan melihat qisas secara terpisah daripada keseluruhan sistem Islam. Sebelum seseorang sampai kepada tahap melakukan pembunuhan, Islam terlebih dahulu membina iman, takwa, akhlak, keluarga dan masyarakat.

BEBERAPA kejadian melibatkan para pelajar kebelakangan ini memerlukan tindakan segera daripada semua pihak.
BEBERAPA kejadian melibatkan para pelajar kebelakangan ini memerlukan tindakan segera daripada semua pihak.

Oleh sebab itu saya melihat pendidikan al-Quran dan pembinaan generasi melalui al-Quran sebagai perkara yang sangat besar.

Artikel Berkaitan:

Al-Quran mesti masuk ke hati, solat mesti membentuk peribadi, iman mesti melahirkan rasa takut kepada ALLAH dan akhlak mesti menghalang tangan daripada menyakiti manusia.

Sistem masyarakat pula mesti mempunyai undang-undang yang mampu melindungi nyawa dan menegakkan keadilan. Inilah pendekatan Islam yang menyeluruh.

Saya bimbang jika kita hanya melihat masalah jenayah daripada sudut hukuman, kita akan terlepas satu persoalan yang lebih besar: Bagaimana kita membina manusia supaya tidak mahu melakukan jenayah itu sejak awal? Dan apabila jenayah tetap berlaku, bagaimana pula kita memastikan hukuman yang adil menjadi pengajaran dan pencegahan kepada masyarakat?

Hari ini kita berdepan generasi yang hidup dalam dunia digital. Mereka terdedah kepada pelbagai bentuk keganasan, buli, kandungan seksual, budaya kebencian dan pelbagai pengaruh yang boleh merosakkan jiwa.

Seruan tindakan kepada semua

Saya menyeru kepada seluruh masyarakat supaya tragedi ini jangan sekadar menjadi bahan perbualan untuk beberapa hari:

1 - Kepada ibu bapa

Jangan serahkan pendidikan anak kepada sekolah dan telefon pintar semata-mata. Luangkan masa untuk mengenali perasaan, pergaulan, tekanan dan perubahan tingkah laku anak-anak kita. Jadikan rumah sebagai tempat pertama mereka belajar tentang iman, kasih sayang, batas pergaulan dan nilai kehidupan.

2 - Kepada para guru dan pihak sekolah

Jangan anggap buli, ugutan, pergaduhan atau perubahan tingkah laku sebagai perkara kecil. Sebarang tanda ancaman terhadap keselamatan murid perlu diambil serius dan ditangani dengan segera.

3 - Kepada masyarakat

Kita mesti kembali kepada budaya amar makruf nahi mungkar. Jangan menjadi masyarakat yang hanya merakam apabila berlaku tragedi. Jika kita melihat buli, ugutan atau keganasan, laporkan dan bantu. Jangan berdiam diri.

4 - Kepada anak-anak muda

Jangan jadikan kemarahan sebagai alasan untuk melakukan keganasan. Jangan biarkan media sosial menentukan nilai diri dan tindakan kita. Ingatlah bahawa satu tindakan yang dilakukan dalam kemarahan boleh menghancurkan masa depan diri sendiri dan keluarga orang lain.

5 - Kepada masjid, surau dan pusat pengajian

Perhebatkan pendidikan al-Quran yang membentuk akhlak dan jiwa. Rumah Ngaji jangan hanya menjadi tempat belajar membaca al-Quran, tetapi menjadi medan membina manusia yang hidup dengan al-Quran.

6 - Kepada pihak berkuasa dan pembuat dasar

Perkukuhkan mekanisme pencegahan keganasan, perlindungan kanak-kanak, intervensi awal, keselamatan sekolah dan penguatkuasaan undang-undang. Pada masa yang sama, ruang perbincangan yang serius tentang prinsip syariah termasuk qisas sebagai mekanisme perlindungan nyawa dan pencegahan jenayah perlu dibuka secara ilmiah dan bertanggungjawab.

AL-QURAN bukan sekadar untuk dibaca semata-mata, malah perlu ditadabur dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
AL-QURAN bukan sekadar untuk dibaca semata-mata, malah perlu ditadabur dan diamalkan dalam kehidupan seharian.

7 - Kepada seluruh umat Islam

Jangan jauhkan kehidupan kita daripada wahyu. Hidupkan al-Quran di rumah. Hidupkan al-Quran di sekolah. Hidupkan al-Quran di masjid.

Dan yang paling penting, hidupkan al-Quran dalam diri manusia. Kita tidak mahu masyarakat hanya belajar tentang nilai nyawa selepas ia hilang. Kita mahu masyarakat yang sejak awal memahami bahawa nyawa manusia merupakan amanah ALLAH.

Membunuh tanpa hak ialah dosa besar, kezaliman mesti dicegah, keadilan mesti ditegakkan dan manusia mesti dibentuk wahyu.

Sebagai sebahagian daripada gerakan Rumah Ngaji di Johor, saya semakin yakin bahawa usaha mendekatkan masyarakat dengan al-Quran bukan sekadar program membacanya.

Ia merupakan usaha membina manusia. Kita mahu melahirkan generasi yang apabila marah, dia ingat ALLAH, apabila berkuasa, dia takut kepada ALLAH, apabila berhadapan dengan orang yang lemah, dia berkasih sayang dan apabila berdepan dengan konflik, dia tidak memilih kekerasan dan pembunuhan.

Mudah-mudahan tragedi Irene Sofiya menjadi peringatan besar kepada kita semua. Jangan kita hanya marah apabila berlaku pembunuhan.

***DR MOHD SHAFIQ SAHIMI merupakan Timbalan Pengerusi Rumah Ngaji Johor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!