Kes rogol wanita Mongolia dirujuk Bukit Aman

EZANEE
EZANEE
A
A
A

PETALING JAYA - Kertas siasatan berhubung kes seorang pegawai polis yang didakwa merogol dua wanita Mongolia telah dilengkapkan dan dirujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya juga menerima arahan untuk mengambil beberapa tindakan susulan berhubung kes terbabit.

"Kertas siasatan telah pun kita rujuk ke Bukit Aman, kita turut mendapat arahan untuk mengambil beberapa lagi tindakan untuk mengemaskinikan siasatan kes tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Inspektor dipercayai rogol wanita Mongolia diberkas

Ditanya sama ada laporan doktor menunjukan kedua-dua wanita warga Mongolia yang berusia 20 dan 37 tahun itu dirogol atau pun tidak, jelas Nik Ezanee, polis masih menjalankan siasatan.

Jelasnya, suspek kini dilepaskan dengan jaminan polis dan diarahkan bercuti daripada penugasan.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Dua kertas siasatan kes rogol wanita Mongolia

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang anggota polis berpangkat Inspektor ditahan selepas disyaki merogol dua wanita Mongolia di sebuah hotel di Petaling Jaya pada 11 April lalu.

Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan selepas polis menyelamatkan mangsa yang masing-masing berusia 20 dan 37 tahun, di hotel berkenaan.

Polis membuka dua kertas siasatan dalam kes ini iaitu kes rogol dan kes bawah Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Antipsom).

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berasingan, Nik Ezanee turut memaklumkan, sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu sehingga kini, seramai 484 telah ditangkap atas kesalahan mengingkari PKP dan 90 daripadanya dituduh di mahkamah.

"Polis sedang mengkaji untuk memperketatkan operasi sekatan jalan raya di bahagian selatan daerah tersebut berikutan pihaknya telah pun memberi tumpuan di bahagian utara pada fasa pertama dan kedua," katanya.