Dua kertas siasatan kes rogol wanita Mongolia

Huzir Mohamed
Huzir Mohamed
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis membuka dua kertas siasatan berhubung kes seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang disyaki merogol dua wanita warga Mongolia di sebuah hotel di Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kertas siasatan itu dibuat secara berasingan iaitu Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Atipsom).

"Suspek kini masih ditahan reman selama lima hari. Kita juga akan menyiasat dakwaan kedua-dua belah pihak termasuk dakwaan mengadakan seks secara sukarela,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.

Sinar Harian Online sebelum ini melaporkan, dua warga Mongolia dipercayai dirogol seorang pegawai polis berpangkat inspektor selepas mengurungnya di sebuah bilik hotel, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal memaklumkan, kedua-dua mangsa berusia 20 dan 37 tahun dikurung di dalam sebuah bilik hotel selepas ditahan ketika sekatan jalan raya.

Polis menerima maklumat pada jam 9.30 malam, sebelum satu operasi menyelamat dilakukan dan berjaya menyelamatkan kedua-dua wanita berkenaan.

Nik Ezanee berkata, hasil daripada siasatan dan keterangan yang diambil dari kedua-dua mangsa, seorang pegawai polis ditahan pada hari sama.

Artikel Berkaitan: