Nash masih berehat selepas dibenarkan pulang

PENYANYI rock, Datuk Nash yang dibenarkan keluar hospital beberapa hari lalu memanjatkan kesyukuran selepas kesakitan akibat kecederaan yang dialami semasa kemalangan semakin beransur pulih.
Nash, 67, berkata, namun terdapat beberapa kecederaan di beberapa bahagian badan menyebabkan beliau mengambil keputusan berehat dahulu daripada sebarang persembahan nyanyian.
"Saya masih berasa sakit sedikit di bahagian rusuk kiri akibat kemalangan tersebut.
"Bahagian hidung ada keretakan termasuk di bahagian kaki kanan masih bengkak dan beransur surut," katanya di rumahnya di Seksyen 7 di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika disantuni pertubuhan bukan kerajaan (NGO),99 Kebajikan Insan Selangor (Kesan), Sahabat Amal Selangor dan Prihatin Selangor.
Sinar Harian melaporkan minggu lalu Nash terlibat dalam kemalangan hingga menerima 52 jahitan susulan kecederaan.
Pelantun lagu Zahir Tak Terucap itu difahamkan terbabit dalam kemalangan motosikal ketika dalam perjalanan pulang dari surau selepas solat Isyak.
Nash berkata, beliau kini fokus untuk memantapkan kembali kesihatan dirinya agar dapat kembali mencari rezeki sebagai anak seni.
"Sememangnya selepas kemalangan yang berlaku saya perlu membatalkan segala persembahan dan jemputan di seluruh negara dan sekitar Shah Alam.
"Apa pun saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada sahabat dan saudara yang melawat terutama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sudi melawat saya di hospital selepas kemalangan minggu lalu," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
