X

Kindly register in order to view this article
!

Ejen 'Dallal' caj RM15,000 seorang etnik Rohingya masuk Malaysia

Zulinda (tengah) menunjukkan gambar suspek yang menjadi dalang kemasukan PATI Rohingya ke utara dan selatan semenanjung Malaysia dan berjaya ditahan Maritim pada 17 April dan 19 April di Simpang Empat dan Guar Chempedak, Kedah.
A
A

ALOR SETAR - Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dikenali 'Ejen Dallal' dipercayai mengenakan bayaran tidak kurang RM15,000 kepada setiap seorang etnik Rohingya untuk urusan membawa masuk mereka ke negara ini.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Zulinda Ramly berkata, maklumat itu diperoleh hasil siasatan lanjut ke atas PATI Rohingya yang ditahan pada 5 April lalu di Langkawi.

Menurutnya, lanjutan daripada maklumat itu juga pihaknya berjaya menahan dua suspek yang disyaki dalang aktiviti penyeludupan PATI yang beroperasi di sekitar utara dan selatan semenanjung.

"Kedua-dua suspek berusia 36 tahun dan 31 tahun ini ditangkap di bawah 'Ops Dallal' yang melibatkan urus niaga jenayah penyeludupan PATI.

"Dalam bahasa Bangladesh, 'Dallal' bermaksud panggilan yang digunakan untuk ejen-ejen darat," katanya pada sidang media di Pejabat APMM Zon Maritim Kuala Kedah di Jalan Berjaya di sini hari ini.

Beliau berkata, modus operandi mereka adalah dengan menaiki sebuah bot besar dari Myanmar dan apabila sampai ke sempadan perairan Malaysia, mereka akan berpecah menggunakan bot-bot kecil untuk masuk ke negara ini.

"Mereka ini adalah sub ejen kepada ejen utama dan pihak kami masih lagi memburu ejen utama tersebut.

"Kita sudah mempunyai bukti transaksi yang dilakukan di antara mereka," katanya.

Zulinda berkata, tangkapan pertama dibuat pada 17 April ke atas seorang lelaki warga Myanmar disyaki etnik Rohingya berusia 36 tahun dan pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR) di sebuah rumah teres di Simpang Empat, Alor Setar.

Menurutnya, semasa serbuan dibuat suspek bersembunyi di atas siling rumah berkenaan, namun berjaya dikesan dan ditangkap oleh penguatkuasa Maritim Malaysia.

"Maklumat siasatan juga mendapati suspek merupakan adik ipar kepada dalang utama aktiviti jenayah penyeludupan PATI yang aktif beroperasi di Kedah, Pulau Pinang dan Johor.

"Pada 19 April, tangkapan kedua dibuat ke atas seorang lelaki warga Myanmar disyaki bangsa Rohingya, berusia 31 tahun di sebuah rumah teres di Guar Chempedak, dan semasa serbuan dilakukan, suspek kedua bersembunyi di belakang pintu utama rumah dan terus ditangkap oleh Pasukan Khas Maritim Kedah Perlis," katanya.

Tambahnya, tangkapan kedua itu berjaya dilakukan susulan maklumat siasatan lanjut ke atas suspek pertama dan hubung kait buku catatan dalang utama yang merekodkan penerimaan bayaran hasil aktiviti penyeludupan PATI dipercayai etnik Rohingya pada 5 April lepas di perairan Langkawi.

"Menerusi siasatan, kedua-dua suspek telah menggunakan beberapa nama samaran untuk mengelak identiti dan pergerakannya dikesan oleh pihak berkuasa. Bagaimanapun, pergerakan suspek berjaya dikesan menerusi maklumat risikan yang diperoleh.

"Maritim Malaysia akan terus memburu anggota sindiket yang terlibat khasnya tekong-tekong darat yang disyaki bersekongkol dengan tekong laut untuk menyeludup PATI ke negara ini, sama ada di kalangan warga asing, pemegang kad UNCHR dan juga rakyat tempatan,"katanya.

Katanya, kedua-dua suspek disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

"Sekiranya disabitkan dengan kesalahan tersebut, suspek boleh dihukum dengan penjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun, dan boleh juga dikenakan denda, atau kedua-duanya sekali," katanya.

Pada 5 April lalu, sebuah bot hanyut yang membawa 202 PATI dipercayai etnik Rohingya ditahan di 1.2 batu nautika barat daya Pantai Peranginan Resort Ritz-Carlton, Langkawi kerana cuba memasuki negara ini secara haram.

202 orang ditahan itu terdiri daripada 152 lelaki, 45 wanita, empat kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!