Semua sekolah, institusi pendidikan di Selangor ditutup esok

Sekolah dan institusi pendidikan di bawah KPM di Selangor ditutup sepenuhnya mulai Jumaat susulan keadaan jerebu.
Sekolah dan institusi pendidikan di bawah KPM di Selangor ditutup sepenuhnya mulai Jumaat susulan keadaan jerebu.
A
A
A

SHAH ALAM - Semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Selangor ditutup sepenuhnya mulai Jumaat susulan keadaan jerebu.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim berkata, penutupan itu berkuat kuasa mulai 9 Oktober sehingga dimaklumkan semula oleh JPN Selangor.

Beliau berkata, semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah JPN Selangor perlu melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid.

"Guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) pula melaksanakan Bekerja Dari Rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan, tertakluk kepada arahan dan keperluan semasa," katanya dalam makluman pada Khamis.

Menurutnya, ibu bapa dan penjaga diminta mengikuti perkembangan serta makluman rasmi JPN Selangor dari semasa ke semasa khususnya berkaitan tarikh pembukaan semula sekolah dan institusi pendidikan.

"Jangan membuat sebarang andaian berkaitan pembukaan sekolah dan hanya merujuk kepada makluman rasmi JPN Selangor atau KPM," jelas beliau.

Beliau turut mengarahkan semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) memastikan makluman berkenaan disampaikan kepada sekolah, institusi pendidikan, guru, AKP, ibu bapa, penjaga dan murid di daerah masing-masing.

"Pihak sekolah juga perlu terus memantau keadaan semasa serta mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan sepanjang tempoh penutupan," tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!