Sekolah, institusi pendidikan di lokasi catat IPU lebih 180 ditutup mulai esok

KUALA LUMPUR - Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 180 akan ditutup bermula Jumaat.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, keputusan itu juga selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menekankan aspek keselamatan dan kesihatan murid.
“Semua institusi pendidikan bawah KPM di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 180 berdasarkan catatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) hendaklah ditutup bermula Jumaat.
"Bagi kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 150 secara berpanjangan selama tiga hari berturut-turut hendaklah ditutup bermula Isnin,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohd Azam berkata, sekolah dan institusi pendidikan KPM yang terjejas dikehendaki melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) sepanjang tempoh penutupan.
“Pihak sekolah hendaklah memastikan kelangsungan proses pengajaran dan pembelajaran murid melalui kaedah yang bersesuaian dengan mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru," ujarnya lagi.
Beliau menambah, guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) turut dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh pelaksanaan penutupan berdasarkan pertimbangan Menteri Pendidikan.
Dalam pada itu, menurutnya, KPM mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan di bawahnya membuat pemantauan secara berterusan serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya bacaan IPU melebihi paras ditetapkan.
"KPM turut akan terus memantau perkembangan jerebu dari semasa ke semasa dan mendapatkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)serta agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan sentiasa terpelihara sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

