Lebih 102,000 ahli Peladang Perak dapat manfaat

Abdul Yunus (dua dari kanan) menyerahkan replika cek kepada Pengurus Besar PPK Pengkalan Hulu, Mat Sulaiman Mat Il selepas sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Abdul Yunus (dua dari kanan) menyerahkan replika cek kepada Pengurus Besar PPK Pengkalan Hulu, Mat Sulaiman Mat Il selepas sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Pelaksanaan Agrobazar Rakyat dan Pasar Segar Terkawal Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Perak dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi manfaat kepada lebih 102,000 ahli Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak.

Exco Pertanian, Infrastruktur, Tenaga dan Air Perak, Datuk Abdul Yunus Jamhari berkata, objektif pelaksanaan tersebut adalah bertujuan memudahkan ahli Peladang dan masyarakat setempat mendapatkan bekalan makanan serta barangan keperluan harian sepanjang tempoh PKP.

Menurutnya, pada masa sama ahli-ahli Pertubuhan Peladang dapat memasarkan hasil keluaran mereka di Agrobazar Rakyat dan Pasar Segar Terkawal yang diuruskan LPP.

"Bagi pelaksanaan Agrobazar Rakyat ini, kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM370,206 kepada lima Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) terpilih bagi menaiktaraf infrastruktur, penambahan peralatan, pendawaian elektrik dan promosi.

"Lima Agrobazar Rakyat yang beroperasi itu ialah di premis PPK Pengkalan Hulu, PPK Gerik, PPK Padang Rengas, PPK Senggang Manong dan PPK Tambun Bandar raya Ipoh," katanya kepada pemberita di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Pengarah LPP Perak, Mohd Fauzi Badron dan Pengurus Besar PPN Perak, Abdul Halim Ahmad.

Abdul Yunus berkata, sepanjang tempoh PKP, Agrobazar Rakyat mengambil inisiatif menjalankan perkhidmatan penghantaran secara bayar semasa terima (COD) melalui tempahan awal menerusi aplikasi WhatsApp selain orang ramai boleh membeli di sendiri di premis yang ditetapkan.

Katanya, inisiatif tersebut bukan sahaja memudahkan masyarakat setempat malahan meningkatkan jualan di Agrobazar Rakyat sehingga 50 peratus berbanding sebelum tempoh PKP dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Dari segi keselamatan dan kebersihan, semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dipatuhi seperti penjagaan kebersihan, penggunaan penutup muka, penjarakan sosial dan lain-lain lagi.

"Sejak Januari lalu sehingga kini, jumlah jualan keseluruhan di Agrobazar Rakyat itu sebanyak RM1.16 juta dengan PPK Pengkalan Hulu mencatat jumlah jualan keseluruhan tertinggi iaitu bernilai RM444,082," katanya.

Sementara itu, bagi pelaksanaan Pasar Segar Terkawal, Abdul Yunus berkata, sehingga kini terdapat tiga zon telah diwujudkan iaitu Zon Utara di PPK Selama, PPK Pengkalan Hulu di Zon Tengah manakala PPK Tapah di Zon Selatan.

Katanya, terdapat dua lagi Pasar Segar Terkawal yang akan dibuka menjelang Ramadan iaitu di Bagan Datuk dan Manjung.