Kaunselor On Wheel bantu pelajar terkesan insiden - KPT

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggerakkan inisiatif Kaunselor On Wheel ke Kuantan bagi memberikan bimbingan psikologi kepada pelajar yang terkesan susulan kematian seorang pelajar Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas), M Elisa Jonova, 19, baru-baru ini.
Ketua Setiausaha KPT, Datuk Aminuddin Hassim berkata, pihaknya turut mengarahkan kaunselor berdaftar untuk membantu waris mangsa serta rakan-rakan yang terkesan dengan kejadian berkenaan.
“Kaunselor On Wheel telah pun bergerak ke Kuantan untuk bertemu dengan pelajar, memberi bimbingan psikologi dan sebagainya.
“Kita perlu melibatkan semua komuniti pendidikan tinggi dan juga masyarakat untuk bersama-sama kita dalam hal ini sebab kita faham tekanan sekarang kepada pelajar-pelajar yang lain, mereka mungkin trauma dengan berita-berita ini,” katanya ketika ditemui selepas Program Industry Nexus (INDEX) 2026: TVET Collaboration Hub di sini pada Khamis.
Menurutnya, KPT turut mempertimbangkan supaya inisiatif Kaunselor On Wheel digerakkan ke kawasan lain yang memerlukan bagi memberi dorongan serta bimbingan kepada pelajar.
Aminuddin berkata, pihaknya mahu semua pihak termasuk politeknik, Majlis Perwakilan Pelajar dan pakar berkaitan kaunseling bersama-sama memberi sokongan psikologi kepada pelajar yang terkesan.
Sebelum ini, polis dilaporkan menerima panggilan kecemasan tentang kejadian itu daripada teman lelaki mangsa pada 4.32 pagi sebelum penuntut Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) yang berusia 19 tahun itu ditemukan terbaring di katil di dalam sebuah bilik sewa di tingkat bawah rumah tersebut.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berumur 19 tahun di lokasi kejadian dan suspek kini direman hingga Isnin depan untuk siasatan lanjut
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr Shamsuri Abdullah berkata, kemudahan penempatan asrama di politeknik pada ketika ini hanya merangkumi 50 hingga 70 peratus sahaja.
"Kami akan melihat dari semasa ke semasa usaha menambah fasiliti asrama, dengan sasaran 70 peratus pelajar politeknik dapat ditempatkan di asrama.
“Memang dalam konteks penempatan ataupun penyediaan asrama itu agak terhad. Kita tidak dapat untuk menempatkan keseluruhan buat masa ini, dalam 50 peratus ke 70 peratus yang kita dapat sediakan, maksudnya memang akan ada yang terpaksa duduk di luar asrama.
“Namun perkara ini kita akan lihat dari masa ke semasa untuk menambah fasiliti asrama,” katanya.
Beliau berkata, aspek kebajikan pelajar juga boleh diperkukuh menerusi peranan penasihat akademik (PA) yang dimiliki setiap pelajar bagi memastikan pertemuan dan pemantauan berkaitan kebajikan serta pembelajaran dilaksanakan dengan sebaiknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


