Pelajar Tingkatan Satu ditemui parah: JPN Kedah beri sokongan psikologi kepada mangsa

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah menyediakan sokongan psikososial kepada seorang pelajar Tingkatan Satu yang ditemukan terbaring parah berhampiran tangga sebuah sekolah di daerah Kulim Bandar Baharu, Ahad lalu.

JPN Kedah dalam kenyataan pada Selasa berkata, pihaknya bersimpati dengan kejadian yang menimpa pelajar berkenaan.

Menurutnya, pelajar terbabit kini dilaporkan sedar dan sedang menerima rawatan serta pemantauan rapi di Hospital Kulim.

“JPN Kedah mendoakan agar murid diberikan kesembuhan.

“Sejurus menerima maklumat, pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulim Bandar Baharu telah mengambil tindakan segera termasuk menghubungi waris, membuat laporan kepada pihak berkuasa serta menyediakan sokongan psikososial kepada murid, keluarga dan rakan-rakan yang terkesan,” katanya.

Sebelum ini, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang Ahad lalu, pelajar lelaki berkenaan ditemukan terbaring di aras bawah berhampiran tangga Blok E sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, kejadian disedari seorang guru yang kemudian memaklumkan perkara itu kepada guru penolong kanan sesi petang sebelum menghubungi polis.

Beliau berkata, ketika ditemukan, pelajar berkenaan masih sedar dan boleh bercakap sebelum dihantar ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan.

Dalam perkembangan berkaitan, JPN Kedah turut mengambil maklum dapatan awal siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa pelajar berkenaan dipercayai berdepan tekanan berkaitan pencapaian akademik.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, pihaknya memaklumkan siasatan masih berjalan dan pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

“JPN Kedah memandang serius kesejahteraan emosi dan mental murid serta menyeru ibu bapa dan warga pendidik supaya peka terhadap perubahan emosi anak-anak dan mendapatkan bantuan sekiranya diperlukan.

“JPN Kedah akan terus memantau perkembangan kes serta memastikan sokongan yang bersesuaian diberikan kepada murid dan warga sekolah yang terkesan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!