Hamas nafi dakwaan guna hospital Gaza untuk ketenteraan

Hamas menafikan dakwaan Israel bahawa sebuah hospital di utara Gaza digunakan untuk aktiviti ketenteraan . -Agensi
Hamas menafikan dakwaan Israel bahawa sebuah hospital di utara Gaza digunakan untuk aktiviti ketenteraan . -Agensi
A
A
A

ISTANBUL - Kumpulan Palestin Hamas pada Rabu menafikan dakwaan Israel bahawa sebuah hospital di utara Gaza digunakan untuk aktiviti ketenteraan, menyifatkan tuduhan itu sebagai "palsu dan tidak berasas" berikutan serangan maut Israel berhampiran kemudahan itu, lapor Anadolu Ajansi.

Tentera Israel mendakwa dua warga Palestin keluar dari Hospital Kamal Adwan dan seorang daripada mereka telah menanam bahan letupan yang didakwa dibawa dari dalam kemudahan itu sebelum kedua-duanya disasarkan dan dibunuh.

Pihak Israel mengenal pasti salah seorang yang terbunuh sebagai Mohammed Tamous, mendakwa dia ialah anggota sayap bersenjata Hamas semasa turut bekerja dengan Pertahanan Awam Palestin.

Tentera Israel bagaimanapun tidak memberikan bukti untuk mengesahkan dakwaannya bahawa bahan letupan telah dipindahkan daripada hospital atau kemudahan itu digunakan untuk tujuan ketenteraan.

Menurut Hamas, dakwaan berulang Israel mengenai hospital, termasuk dakwaan bahawa anggota Hamas telah muncul dari Hospital Kamal Adwan, adalah "palsu dan tidak berasas".

Kumpulan itu berkata dakwaan itu mengulangi dakwaan Israel sebelum ini bahawa Hamas mengendalikam pusat arahan di dalam hospital, yang telah pun disangkal.

Hamas menuduh Israel menggunakan dakwaan sedemikian sebagai alasan untuk menyasarkan hospital dan kemudahan awam lain di Gaza.

Terdahulu pada Rabu, seorang perubatan Pertahanan Awam Palestin meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami dalam serangan Israel ketika bergerak ke arah mangsa yang cedera, berhampiran Hospital Kamal Adwan, sumber perubatan memberitahu Anadolu.

Sumber itu berkata pesawat Israel menyerang kawasan itu semula ketika pegawai perubatan sedang menuju ke tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

Sejak Oktober 2023, perang Israel di Gaza telah membunuh lebih 74,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 175,000 yang lain, menurut angka Palestin. Peperangan itu juga telah memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur enklaf itu. - Bernama

 

 

-

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!