Gadi Eisenkot intai peluang jatuhkan Netanyahu

Netanyahu (kanan) dijangka berdepan cabaran sengit pada pemilihan kali ini.
Netanyahu (kanan) dijangka berdepan cabaran sengit pada pemilihan kali ini.
A
A
A

TEL AVIV - Kurang sebulan menjelang Pilihan Raya Umum Israel, persaingan politik semakin sengit apabila komuniti Yahudi berdepan ketidaktentuan mengenai hala tuju kepimpinan negara haram itu.

Pemilihan pada 27 Oktober ini menjadi detik penting buat rejim Tel Aviv yang mengalami perubahan besar akibat konflik berpanjangan di Genting Gaza, Lubnan dan Iran.

Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, 76, dijangka berdepan cabaran sengit daripada bekas Ketua Turus Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Gadi Eisenkot, 66, yang disebut sebagai pesaing utama pemimpin 'ekstremis' tersebut.

Penganalisis politik melihat tiada blok politik yang mempunyai laluan mudah untuk membentuk kerajaan yang diramalkan akan mengubah landskap politik Israel.

Bagi mengekalkan kuasa, Netanyahu perlu membentuk gabungan kerajaan baharu atau mencipta kejutan besar. Namun, Knesset (Parlimen) yang dijangka kekal berpecah-belah sekali lagi berdepan kebuntuan apabila tiada mana-mana blok hampir mencapai majoriti.

Tinjauan terbaharu Channel 13 yang diterbitkan minggu lalu menunjukkan kebuntuan politik berterusan apabila parti Yahudi Israel yang menentang Netanyahu diunjurkan meraih 52 kerusi manakala blok pimpinannya memperoleh 51.

Kedua-duanya masih kurang sembilan kerusi daripada 61 yang diperlukan untuk membentuk majoriti.

Parti Yashar diketuai Gadi Eisenkot pula mendahului tinjauan dengan 22 kerusi manakala Likud pimpinan Netanyahu diunjurkan memperoleh 18 kerusi.

Ketidaktentuan mengenai pembentukan kerajaan baharu dengan kedua-dua blok utama berhaluan kanan turut mencetuskan keresahan dalam kalangan pengundi.

Artikel Berkaitan:

Ada yang berpendapat perubahan besar mungkin tidak berlaku, tidak kira siapa pun yang akan menerajui kerajaan.

“Saya pernah mengundi Yair Lapid yang memimpin Parti Yesh Atid. Nama parti itu bermaksud ‘ada masa depan’. Tetapi, saya tidak nampak sebarang masa depan yang jelas. Saya tidak akan mengundi pada pilihan raya kali ini kerana sudah tidak mempercayai sesiapa,” kata Rachel, 42.

Iklan kempen pilihan raya Eisenko dipaparkan pada sebuah bas awam ketika pesaing utama Netanyahu itu mula memancing undi.
Iklan kempen pilihan raya Eisenko dipaparkan pada sebuah bas awam ketika pesaing utama Netanyahu itu mula memancing undi.

Tolak negara Palestin

Ketika pengundi Israel semakin skeptikal terhadap calon pilihan raya, Eisenkot muncul sebagai wajah baharu yang mahu menentang dominasi Netanyahu selama hampir dua dekad.

Latar belakang ketenteraan dan pendirian tegasnya dalam isu keselamatan menjadikan Eisenkot antara tokoh penting dalam percaturan politik Israel.

Namun, pendiriannya terhadap beberapa isu sensitif turut menjadi perhatian dengan sesetengah pengkritik menyifatkannya sebagai lebih agresif berbanding Netanyahu dalam aspek tertentu.

Menurut Institut Pemahaman mengenai Asia Barat (IMEU), Eisenkot menolak penubuhan negara Palestin dan penyelesaian dua negara.

Menerusi wawancara pada Jun lalu, Eisenkot dengan lantang menyatakan tidak pernah menyokong gagasan itu dan menganggap penyelesaian dua negara sebagai pendekatan yang kononnya tidak relevan.

Beliau juga secara terbuka menyatakan sokongan terhadap penempatan Israel di Tebing Barat. Pada April lalu, Eisenkot dikritik selepas mengadakan lawatan ke beberapa komuniti pendatang haram Yahudi di utara Tebing Barat.

Rekod ketenteraan Eisenkot turut menjadi tumpuan terutamanya berkaitan 'Doktrin Dahiya' iaitu pendekatan ketenteraan ketika mengetuai markas utara. Pendekatan ketenteraan itu menekankan operasi berskala besar terhadap kawasan yang menjadi lokasi serangan ke atas Israel. Pada Mac lalu, bekas jeneral itu sekali lagi menggesa supaya doktrin itu digunakan di Lubnan.

Ketika kempen kali ini, Eisenkot membentangkan agenda meliputi pembaharuan sistem pendidikan, peningkatan faedah untuk anggota tentera dan askar simpanan serta peluasan khidmat ketenteraan kepada komuniti ultra-Ortodoks (Haredi) yang selama ini dikecualikan.

Beliau juga mahu semua kanak-kanak Israel mengikuti sistem pendidikan negara yang merangkumi mata pelajaran teras seperti matematik dan bahasa Inggeris.

Dari sudut politik, Eisenkot menolak kerajaan yang menggunakan sistem penggiliran Perdana Menteri dan menolak kerjasama dengan dua parti utama yang dipimpin wakil Arab Israel, Parti Senarai Bersama serta Ra'am. Beliau juga menyatakan pendirian tegas terhadap Hamas dan menyifatkan Iran sebagai ancaman strategik utama.

Beliau mahu terus memperkukuh hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Mesir serta Jordan. Eisenkot turut menolak pendekatan lapuk Netanyahu yang menyebabkan Israel semakin terasing di peringkat antarabangsa.

Persoalannya kini, adakah kemunculan Eisenkot bakal membawa perubahan sebenar terhadap sistem politik Israel atau sekadar pertukaran wajah dengan dasar radikal yang masih serupa?

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!