PM Qatar gelar Netanyahu 'penjenayah perang', ikrar teruskan usaha pengantaraan

ISTANBUL - Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani pada Selasa menyifatkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai 'penjenayah perang', sambil menegaskan Doha akan meneruskan usaha pengantaraan meskipun ketegangan serantau semakin meningkat, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ketika ditanya dalam wawancara bersama wartawan Britain Piers Morgan sama ada beliau menganggap Netanyahu sebagai penjenayah perang, Sheikh Mohammed berkata, jenayah perang telah berlaku di Gaza dan mereka yang bertanggungjawab perlu dipertanggungjawabkan.
Beliau berkata, hospital dan sekolah turut menjadi sasaran, sambil menegaskan bahawa apa jua alasan yang diberikan tidak boleh membenarkan tindakan sedemikian.
Sheikh Mohammed turut menuduh Netanyahu menyerang Qatar secara politik bagi mengalih perhatian daripada kelakuannya sendiri dan kerajaannya.
Beliau sekali lagi mengecam serangan Israel ke atas Doha pada 9 September 2025 yang menyasarkan pegawai Hamas ketika Qatar sedang menjalankan usaha pengantaraan.
Serangan itu mengorbankan lima anggota Hamas dan seorang pegawai keselamatan Qatar.
"Kami diserang Israel ketika sedang menjalankan usaha pengantaraan,” kata beliau sambil menyifatkan serangan itu sebagai tindakan yang belum pernah berlaku terhadap sebuah negara pengantara.
"Netanyahu telah melampaui batas seperti mana beliau pernah melampaui batas-batas lain sebelum ini,” kata beliau.
Di sebalik ketegangan yang berlaku, Sheikh Mohammed berkata, Qatar akan terus memberi keutamaan kepada diplomasi sambil menegaskan bahawa penglibatan di sebalik tabir kekal sebagai cara paling berkesan untuk mencapai kemajuan.
Beliau berkata, Doha berusaha memberikan nasihat terbaik kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan Iran mengenai langkah ke arah penyelesaian.
Mengenai konflik serantau yang lebih luas, Sheikh Mohammed berkata tiga isu utama perlu ditangani bagi meredakan keadaan iaitu program nuklear Iran dan sekatan, kebebasan pelayaran melalui Selat Hormuz serta rangka kerja keselamatan serantau yang melibatkan Iran dan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Menurut beliau, rangka kerja keselamatan serantau perlu berasaskan dialog, prinsip tidak campur tangan dan tidak melakukan pencerobohan, selain meningkatkan kerjasama ekonomi.
Terdahulu, pada Selasa, jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al-Ansari berkata, Doha terus menjalankan usaha pengantaraan dan menyampaikan mesej antara AS dan Iran.
Beliau berkata, Qatar masih bimbang terhadap kemungkinan peningkatan ketenteraan dan terus mengusahakan penyelesaian secara aman. - Bernama-Anadolu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
