UAE sahkan Netanyahu bertemu Presiden Sheikh Mohamed di Abu Dhabi

ABU DHABI – Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengesahkan Presiden SM bin Zayed Al Nahyan (MBZ) bertemu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Abu Dhabi pada Ahad, sehari selepas lawatan itu dilaporkan media Israel.
Menurut agensi berita rasmi UAE iaitu WAM, pengesahan mengenai pertemuan tersebut dibuat pada Isnin.
“Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak membincangkan hubungan dua hala antara UAE dan Israel serta cara untuk memperkukuh dan mengembangkannya,” menurut laporan WAM yang dipetik Al Jazeera.
Pengesahan UAE itu menjadi perkembangan terbaharu selepas lawatan Netanyahu ke Abu Dhabi pada mulanya tidak diumumkan secara terbuka.
Pertemuan berkenaan turut menjadi perhatian kerana berlangsung kira-kira sebulan sebelum pilihan raya Parlimen Israel atau Knesset pada Oktober.
Ia juga berlaku ketika Netanyahu berdepan kontroversi susulan laporan akhbar Israel, Haaretz yang mendakwa MBZ pernah memberi amaran kepadanya mengenai kemungkinan serangan besar Hamas kira-kira 10 hari sebelum serangan 7 Oktober 2023.
Netanyahu menafikan menerima amaran tersebut dan menyifatkan laporan berkenaan sebagai palsu serta bermotifkan politik.
Beliau juga mengumumkan hasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap Haaretz.
UAE sebelum ini tidak mengesahkan dakwaan mengenai amaran tersebut.
Kementerian Luarnya pada 8 September menegaskan kerajaan UAE tidak mengulas laporan media atau spekulasi mengenai perbualan antara pemimpin.
Bagaimanapun, Abu Dhabi mengakui UAE dan Israel mempunyai saluran komunikasi secara terbuka dan langsung sejak hubungan diplomatik diwujudkan lebih lima tahun lalu, termasuk berkongsi maklumat risikan apabila diperlukan.
Hubungan UAE-Israel dinormalisasikan menerusi Perjanjian Abraham yang dimeterai pada 2020. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

