RON97, RON95 tanpa subsidi naik 15 sen, diesel kekal

Harga diesel tanpa subsidi dikekalkan bagi tempoh 8 Oktober hingga 14 Oktober 2026.
Harga diesel tanpa subsidi dikekalkan bagi tempoh 8 Oktober hingga 14 Oktober 2026.
A
A
A

SHAH ALAM - Harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing naik 15 sen seliter, manakala diesel tanpa subsidi dikekalkan bagi tempoh 8 Oktober hingga 14 Oktober 2026.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, harga baharu RON97 ditetapkan pada RM5.15 seliter, RON95 tanpa subsidi RM4.67 seliter dan diesel tanpa subsidi RM5.27 seliter, berkuat kuasa mulai Khamis.

Menurut MoF, walaupun aliran minyak mentah dari Asia Barat semakin pulih, harga minyak mentah dunia kekal tinggi.

"Tekanan harga kini semakin tertumpu pada produk petroleum bertapis. China menggantung sebahagian besar eksport bahan api bagi Oktober, sekali gus mengehadkan bekalan di pasaran antarabangsa.

" Pemulihan kapasiti penapisan dan bekalan produk petroleum bertapis global kekal penting bagi mengurangkan tekanan harga dalam jangka sederhana.

"Namun begitu, perkembangan konflik di Asia Barat dan Rusia-Ukraine terus menimbulkan risiko terhadap kestabilan bekalan dan harga petroleum dunia," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, harga bahan api bersubsidi dikekalkan iaitu RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter, diesel (BUDI Diesel) RM2.10 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter.

Jelas MoF, menerusi BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan.

"Walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan Madani menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan Madani akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin," menurut kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!