Harga runcit bahan bakar turun 10 sen

PUTRAJAYA – Harga runcit petrol dan diesel tanpa subsidi bagi minggu 1 hingga 8 Julai turun sebanyak 10 sen, berkuatkuasa Rabu selaras dengan penurunan harga pasaran petroleum antarabangsa.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan, penetapan baharu itu dibuat menerusi mekanisme Automatic Pricing Mechanism (APM) berdasarkan purata harga pasaran minggu terdahulu.
Bagi tempoh tersebut, harga runcit RON97 diturunkan kepada RM4.00 seliter berbanding RM4.10 sebelum ini.
"RON95 tanpa subsidi pula turun kepada RM3.37 seliter daripada RM3.47 seliter, manakala diesel tanpa subsidi berkurang kepada RM3.97 seliter berbanding RM4.07 seliter," katanya pada Selasa.
Ujar MoF, penurunan seragam 10 sen itu berlaku ketika pasaran minyak mentah global menunjukkan trend lebih sederhana selepas sebelum ini meningkat susulan ketegangan di Asia Barat.
Kerajaan menjelaskan, perkembangan itu disokong oleh tanda pemulihan aliran bekalan global serta jangkaan bahawa rundingan konflik dapat mengurangkan risiko gangguan bekalan.
Namun begitu, harga minyak dunia masih dianggap belum stabil sepenuhnya dengan risiko gangguan rantaian bekalan, kos penghantaran dan ketidaktentuan geopolitik masih kekal.
Dalam masa sama, penetapan harga baharu itu turut diselaraskan dengan pelaksanaan sistem subsidi diesel bersasar melalui Budi Madani Diesel (BUDI Diesel) yang akan bermula pada Rabu.
Budi Diesel membolehkan rakyat Malaysia yang layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter menggunakan pengesahan MyKad di stesen minyak seluruh negara.
Tegas kementerian itu, pelarasan harga ini mencerminkan pendekatan berasaskan pasaran di bawah APM, di samping mengekalkan perlindungan kepada rakyat menerusi subsidi bersasar.
“Walaupun harga runcit tanpa subsidi turun, Kerajaan Madani kekal komited memastikan mekanisme subsidi lebih berfokus dilaksanakan secara berperingkat bagi menjamin kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu.
Kerajaan turut mengingatkan bahawa pasaran petroleum global masih terdedah kepada ketidaktentuan, justeru pergerakan harga boleh berubah bergantung kepada perkembangan semasa.
Sehubungan itu, orang ramai disaran terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat bagi mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan isi rumah dan kebergantungan kepada subsidi.
Kerajaan menegaskan pendekatan semasa akan terus menyeimbangkan antara keperluan melindungi pengguna dan memastikan kedudukan fiskal negara kekal mampan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

