Kelantan tubuh jawatankuasa khas, rayu kes ganti rugi RM17.46 juta kepada peserta FELCRA

Mohamed Fadzli
Mohamed Fadzli
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti semula kelemahan dalam aspek representasi undang-undang susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang mengarahkan kerajaan negeri membayar ganti rugi RM17.46 juta kepada 348 peserta FELCRA Bukit Tandak.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikannya sendiri sebagai sebahagian daripada persediaan kerajaan negeri menghadapi proses rayuan.

Menurut beliau, kerajaan negeri turut memutuskan untuk mencabar keputusan tersebut di Mahkamah Rayuan dalam tempoh yang ditetapkan.

"Kita hari ini membincangkan perkara ini secara khusus dan insya-ALLAH kita akan membuat rayuan.

"Dalam masa yang sama, kita telah menubuhkan satu jawatankuasa yang saya sendiri pengerusikan bagi meneliti kelemahan daripada sudut representasi kes di mahkamah," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan kerajaan negeri dan Pentadbir Tanah Daerah Pasir Mas membayar ganti rugi sebanyak RM17.46 juta kepada 348 peserta FELCRA Bukit Tandak.

Ganti rugi tersebut berkaitan pengeluaran tender pembalakan pokok getah milik peserta yang didapati tidak sah.

Mohamed Fadzli berkata, penelitian itu penting bagi membolehkan kerajaan negeri mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum kes tersebut dibawa ke peringkat mahkamah yang lebih tinggi.

Menurutnya, kerajaan negeri berpandangan keputusan berkenaan wajar dicabar dan akan berusaha memberikan pembelaan terbaik dalam proses rayuan.

Artikel Berkaitan:

"Kes itu tidak sepatutnya kita kalah.

"Tetapi kita yakin, insya-ALLAH di peringkat mahkamah seterusnya nanti, kita akan cuba memberikan pembelaan yang terbaik," katanya.

Mengulas tindakan lanjut, beliau mengesahkan kerajaan negeri akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan dalam tempoh yang ditetapkan.

"Ya, kita akan membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!