MyIPO terus perkasa kefahaman IP media dalam era AI

SHAH ALAM – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) terus memperkukuh peranannya dalam ekosistem harta intelek (IP) negara dengan memimpin wacana strategik bagi membantu pengamal media memahami cabaran dan dinamika IP dalam era kecerdasan buatan (AI).
Menerusi kerjasama dengan Institut Media Malaysia (MPI), MyIPO menganjurkan Forum Media bertajuk AI, Media dan Harta Intelek: Siapa Pemilik, Siapa Bertanggungjawab? di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), bersempena Persidangan dan Pameran Kebangsaan Pengkomersialan Harta Intelek (IP CONFEX) 2026.

Forum berkenaan membincangkan pelbagai isu perundangan yang sering dihadapi bilik berita dan pencipta kandungan, termasuk hak milik karya yang dihasilkan AI, liabiliti pelanggaran hak cipta, penstriman tanpa kebenaran serta amalan pengubahsuaian kandungan (remix).
Perbincangan turut menyentuh impak penghasilan kandungan baharu dengan bantuan AI terhadap ekosistem IP sedia ada, khususnya dalam penulisan kewartawanan.
Sesi berkenaan menampilkan panel pakar daripada tiga perspektif utama iaitu kawal selia IP, media dan penguatkuasaan.

Panel terdiri daripada Ketua Pengarah MyIPO, Yusnieza Syarmila Yusoff; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Shamsul Nizam Khalid serta Pengarang Kanan Berita, New Straits Times, Robin Stanley Augustin.
Yusnieza berkata, MyIPO komited menjadi fasilitator dan rujukan utama bagi memastikan komuniti media tidak ketinggalan dalam memahami garis panduan IP, selari dengan pematuhan etika dan undang-undang digital.

"Kira-kira 50 pengamal media terdiri daripada editor kanan dan wartawan hadir dalam forum berkenaan yang dikendalikan moderator, Sayed Munawar Sayed Mustar.
"Turut hadir Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong," katanya.
Melalui inisiatif berterusan itu, MyIPO bertekad memastikan industri media negara berkeupayaan memanfaatkan teknologi AI secara beretika, selain memelihara dan menghormati hak harta intelek dalam landskap kewartawanan moden.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
