'Saya tak suka orang sepak orang tua macam ni' - Majistret

Mohd Rezuan (tengah) dihukum penjara setahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menakutkan dan mencederakan datuk kepada bekas isterinya.
Mohd Rezuan (tengah) dihukum penjara setahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menakutkan dan mencederakan datuk kepada bekas isterinya.
A
A
A

KUALA KRAI - Padah menyepak mulut datuk kepada bekas isterinya dan melibas parang ke arah mangsa, seorang penoreh getah dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.

Mohd Rezuan Muhamad @ Yusuf, 35, dijatuhi hukuman itu oleh Majistret Rais Imran Hamid selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dikemukakan.

“Saya tak suka benda-benda macam ni, buat pada orang tua, lagi-lagi keluarga sendiri.

“Kamu libas parang sampai dia jadi takut pada kamu, kalau orang buat pada anak atau isteri kamu macam ni, pasti kamu marah,” kata Rais Imran.

Mohd Rezuan (dua dari kanan) tiba di mahkamah untuk mendengar pertuduhan. 
Mohd Rezuan (dua dari kanan) tiba di mahkamah untuk mendengar pertuduhan. 

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menakutkan secara jenayah terhadap warga emas, Abdulhadee Chedah, 65, dengan cara mengacukan dan melibas sebilah parang ke arah mangsa di sebuah pondok bersebelahan tapak pelupusan sampah Majlis Daerah Kuala Krai, Pahi di sini pada jam 12 tengah hari, Jumaat lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Pertuduhan pertama dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dikenakan hukuman penjara selama 12 bulan manakala pertuduhan kedua, penjara enam bulan dengan kedua-dua berjalan serentak bermula tarikh hukuman.

Mohd Rezuan (dua dari kanan) diiringi pihak polis semasa di Mahkamah Kuala Krai. 
Mohd Rezuan (dua dari kanan) diiringi pihak polis semasa di Mahkamah Kuala Krai. 

Berdasarkan fakta kes, tertuduh datang ke pondok tempat mangsa tinggal dan bertanyakan mengenai keberadaan anaknya yang bernama Arisa.

Tertuduh kemudian dikatakan tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan sebelum mengacukan dan melibas parang beberapa kali ke arah mangsa sehingga menyebabkan lelaki itu ketakutan.

Tertuduh kemudiannya menyepak mulut mangsa sekali menggunakan kaki kanannya sehingga menyebabkan bibir lelaki berkenaan cedera terkoyak hingga satu sentimeter sebelum beredar dari tempat kejadian.

Mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Tertuduh ditangkap pada Sabtu lalu dan polis turut merampas sebilah parang panjang yang dipercayai berkaitan dengan kes.

Pada prosiding itu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Farazalila Fauzi yang mewakili tertuduh dalam rayuannya memaklumkan anak guamnya hanya berpendidikan sehingga Tingkatan Lima selain berpendapatan kira-kira RM150 seminggu.

Timbalan Pendakwa Raya, Mazlinda Mohd Nor bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatan sama serta lebih berhati-hati dalam setiap tindak-tanduknya selepas ini.

Dalam keterangan impak mangsa, lelaki itu memaklumkan perbuatan tertuduh menyebabkan dirinya ketakutan sehingga berasa seolah-olah berada di ambang kematian.

Mangsa turut mendakwa tertuduh merupakan penagih dadah dan pernah menendang muka bapa mentuanya sebelum ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!