'Anak saya tak selamat di sekolah asrama itu’

KUANTAN - "Saya sudah mengambil semua barang dan kelengkapannya dari asrama kerana anak saya memang tidak selamat berada di situ.”
Demikian kata Siti Rohani Yusof, 40, selepas anak sulungnya berusia 14 tahun didakwa menjadi mangsa buli di asrama sebuah sekolah menengah agama di Rompin pada minggu lalu.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat selepas merasakan keselamatan anaknya tidak lagi terjamin di asrama berkenaan.

“Saya cuma fikir, mujur anak saya masih hidup dan boleh bercakap tentang apa yang berlaku. Bayangkan kalau perkara ini berlaku seperti kes-kes sebelum ini, apa akan jadi pada anak saya?
“Bila berlaku benda macam ini, ramai ibu bapa dah takut nak letak anak dekat asrama sebab dah tak ada kepercayaan lagi dan selepas ini, saya akan mohon pertukaran sekolah untuk anak saya,” katanya ketika ditemui pemberita bagi berkongsi kejadian yang menimpa anaknya di sini pada Sabtu.
Bercerita semula kejadian itu, ibu kepada dua anak memberitahu, kejadian bermula pada 12 September lalu, ketika anaknya dipanggil ke sebuah bilik asrama bersama seorang lagi rakan sekelas sebelum dipukul secara serentak oleh lima pelajar senior.
Ujarnya, kepala anaknya dan mangsa seorang lagi ditutup menggunakan tuala sebelum ditumbuk, ditendang, dan ditampar secara beramai-ramai.

“Anak saya didakwa dipukul selama dua jam manakala rakannya dipukul selama dua jam setengah. Mereka menjerit dan menangis kesakitan, namun tidak berani membuka mulut kerana takut dan diugut.
“Lebih menyedihkan, anak saya dipukul sekali lagi pada Selasa malam menggunakan batang penyapu serta ditendang oleh dua pelajar terbabit, " jelasnya.
Rohani mendakwa, anaknya kemudian mengadu kepada guru dan warden serta merayu untuk menumpang tidur di rumah warden kerana ketakutan, namun aduan tersebut tidak diendahkan.
Katanya, namun anaknya memberanikan diri menghubungi bapanya pada Rabu malam bagi menceritakan kejadian sebenar.
“Bila bapa hubungi warden, pihak sekolah kata semua dah selesai dan minta kami tak perlu datang. Namun kami berkeras untuk datang ke sekolah pada keesokan harinya.
“Setibanya di sana (sekolah), saya terkejut melihat kelima-lima pelajar terbabit masih bebas dan selepas disoal siasat seorang demi seorang di hadapan guru, kesemuanya akhirnya mengaku bersalah,” ujarnya yang memaklumkan anaknya mengalami kecederaan dibeberapa bahagian badan termasuk lebam akibat kejadian tersebut.

Susulan kejadian itu, Rohani berkata, satu laporan di Balai Polis Muadzam Shah telah dibuat membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap kesemua pelaku.
“Selepas membuat laporan polis, saya membawa anak ke Hospital Muadzam Shah untuk dapatkan laporan kesihatan dan menjalani ujian X-ray, " ujarnya.
Sehubungan itu, Rohani mendesak pihak polis dan agensi berkaitan agar menyiasat secara telus pentadbiran sekolah, pengetua serta warden yang didakwa cuai.
“Bukan untuk minta belas kasihan, tetapi kami nak ada keadilan untuk anak saya dan mangsa lain.
"Tolong ambil perkara ini secara serius supaya tidak berlaku lagi pada masa akan datang,” tegasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi memaklumkan polis menerima laporan berkaitan kes pergaduhan membabitkan pelajar Tingkatan Dua di asrama lelaki sebuah sekolah agama di Bukit Ibam.

Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 12.01 tengah malam pada 12 September lalu membabitkan dua mangsa dipanggil ke bilik asrama oleh lima pelajar lelaki terdiri daripada tiga pelajar Tingkatan Lima dan dua pelajar Tingkatan Empat.
Menurutnya, punca kejadian kerana mangsa pertama ponteng kuliah agama manakala mangsa kedua bersubahat dengan mangsa pertama.
“Kedua-dua mangsa telah dipukul oleh kesemua suspek.
"Susulan itu, mangsa pertama mengalami kecederaan di bahagian kedua-dua lengan tangan manakala mangsa kedua mengalami kecederaan pada badan, " jelasnya.
Sharif Shai menambah, kesemua lima suspek telah ditangkap sebelum diberikan jamin polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

