MD Pharma perluas jenama halal berkualiti ke pasaran serantau

MD Pharma Sdn Bhd terus memperkukuh portfolio jenama kesihatan, kesejahteraan dan penjagaan kulit berkualiti yang diperakui halal seiring persediaan syarikat untuk mengembangkan perniagaan ke beberapa pasaran ASEAN terpilih.
Pengasas dan Pengarah MD Pharma, Andrew Tan Eng Joo berkata, pengalaman syarikat dalam pengedaran produk kesihatan dan kecantikan telah memberikan pemahaman mendalam mengenai keperluan pengguna, ahli farmasi, profesional penjagaan kesihatan serta peruncit.
Menurutnya, pemahaman tersebut menjadi antara asas utama dalam pembangunan produk syarikat yang menekankan kualiti, keselamatan, keberkesanan dan nilai, di samping memenuhi keperluan khusus setiap pasaran.
“Pengalaman ini membantu kami memahami keperluan sebenar pengguna dan pasaran, sekali gus membolehkan kami membangunkan produk yang memberi tumpuan kepada kualiti, keselamatan, keberkesanan dan nilai.
“Pada masa sama, kami sentiasa mengambil kira keperluan khusus pengguna dalam setiap pasaran,” katanya kepada Sinar Bisnes.
Antara jenama utama di bawah MD Pharma ialah UVeCARE®, MDERM, ImunGuard-C dan EPIFLOR yang merangkumi kategori perlindungan matahari, penjagaan kulit, sokongan imuniti serta kesihatan usus dan kulit.
Andrew berkata, UVeCARE® 3-in-1 Brightening Up Sunscreen SPF50 PA+++ merupakan produk penjagaan kulit buatan Malaysia yang dirumus untuk memberikan perlindungan spektrum luas daripada sinaran matahari, selain menawarkan manfaat hidrasi dan pencerahan kulit.
Produk itu mempunyai tekstur yang ringan, tidak berminyak dan sesuai digunakan setiap hari pada wajah, leher serta badan.
UVeCARE® turut memperoleh pensijilan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan menerima pelbagai pengiktirafan industri, termasuk Natural Health Readers’ Awards 2025 serta Natural Health Iconic Brand Awards 2025.
Bagi kategori penjagaan kulit, MDERM Vital Hydro Boost Serum dirumus menggunakan lapan jenis Hyaluronic Acid (HA) dengan saiz molekul berbeza bagi memberikan hidrasi pada pelbagai lapisan kulit serta membantu mengekalkan keseimbangan kelembapan.
Serum tersebut turut mengandungi Niacinamide (Vitamin B3), Panthenol (Vitamin B5) dan Allantoin yang membantu memulihkan kelembapan, menenangkan serta menghaluskan kulit, selain menyokong penampilan kulit yang lebih anjal, sihat dan terhidrat.

Andrew berkata, MDERM yang mendapat pensijilan Halal Jakim dibangunkan susulan peningkatan kesedaran pengguna terhadap kesihatan kulit, termasuk kepentingan mengekalkan fungsi penghalang kulit yang sihat.
“Pengguna kini semakin sedar tentang keperluan mendapatkan produk penjagaan kulit yang berkesan, selamat dan berkualiti bagi menyokong kesihatan kulit dalam jangka panjang,” katanya.
Penjagaan kulit
Beliau berkata, beberapa produk baharu di bawah jenama MDERM sedang dalam perancangan ketika MD Pharma terus memperluas rangkaian produknya dan meneroka peluang untuk menawarkan penyelesaian penjagaan kulit yang inovatif serta berasaskan sains kepada pengguna di Malaysia dan pasaran serantau.
Sementara itu, ImunGuard-C menggabungkan Wellmune® Baker’s Yeast Beta Glucan, PureWay-C®, Pelargonium dan inulin bagi menyokong sistem imun serta kesejahteraan harian.
EPIFLOR pula memberi tumpuan kepada kesihatan usus dan kulit menerusi gabungan strain probiotik terpilih, termasuk B. breve M-16V, B. infantis M-63 dan L. rhamnosus GG bersama inulin.
Menurut Andrew, kedua-dua jenama itu mencerminkan fokus MD Pharma yang semakin berkembang dalam bidang kesihatan pencegahan, kesihatan usus, kesihatan kulit dan kesejahteraan menyeluruh.
“Pendekatan kami adalah membangunkan produk berasaskan formulasi berkualiti yang mampu memenuhi keperluan sebenar pengguna,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan produk syarikat turut mengambil kira maklum balas pengguna, ulasan produk, data jualan dalam talian serta pandangan ahli farmasi, profesional penjagaan kesihatan dan rakan niaga peruncitan.
“Pengguna hari ini semakin mementingkan ramuan, kualiti, keselamatan, keberkesanan dan nilai untuk wang.
“Oleh itu, kami sentiasa menilai produk sedia ada dan mengenal pasti ruang untuk penambahbaikan berterusan,” katanya.
Dengan Malaysia kekal sebagai pasaran utama, MD Pharma kini meneroka peluang untuk berkembang ke Singapura, Brunei, Indonesia dan beberapa pasaran lain secara berperingkat melalui kerjasama dengan pengedar tempatan.
Jelas Andrew, pematuhan terhadap keperluan kawal selia akan terus menjadi keutamaan, khususnya berkaitan pendaftaran produk, ramuan, tuntutan produk dan pelabelan.
“Setiap pasaran mempunyai keperluan kawal selia yang berbeza. Kami perlu pastikan produk memenuhi piawaian yang ditetapkan tanpa menjejaskan kualiti dan integriti jenama,” katanya.
Ujarnya, membina kepercayaan pengguna juga penting apabila jenama Malaysia memasuki pasaran yang telah lama dikuasai pemain antarabangsa.
“Matlamat kami adalah untuk membina jenama berkualiti yang dipercayai pengguna, berteraskan jaminan halal, piawaian produk yang ketat dan manfaat yang jelas kepada pengguna,” katanya.
MD Pharma juga akan terus memperluas portfolio produknya dan mengukuhkan jenama di Malaysia, selain membawa produk berkualiti yang diperakui halal ke pasaran serantau secara berperingkat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

