Gadai nyawa 'cabar' lampu merah

Kesilapan kecil di persimpangan boleh membawa akibat besar, bukan sahaja kepada pelanggar lampu merah, malah kepada keluarga dan pengguna jalan raya yang tidak berdosa. Foto hiasan
Kesilapan kecil di persimpangan boleh membawa akibat besar, bukan sahaja kepada pelanggar lampu merah, malah kepada keluarga dan pengguna jalan raya yang tidak berdosa. Foto hiasan
A
A
A

ADA pengguna jalan raya menganggap lampu isyarat merah sekadar arahan yang boleh dilanggar jika keadaan jalan dilihat lengang. Hakikatnya anggapan itu boleh menyebabkan orang lain kehilangan nyawa.

Pengalaman penulis sendiri berdepan penunggang motosikal yang tiba-tiba melanggar lampu merah menjadi bukti kesalahan tersebut bukan perkara remeh seperti yang dianggap segelintir pengguna jalan raya.

Ketika lampu isyarat bertukar hijau dan penulis mula bergerak, secara tiba-tiba sebuah motosikal muncul dan terus melanggar lampu merah menyebabkan keadaan menjadi cemas. Nasib baik tidak berlanggar, namun kejadian itu meninggalkan kesan sehingga penulis kini lebih berhati-hati walaupun lampu isyarat sudah bertukar hijau.

Pandangan perlu ditolehkan ke kiri dan kanan terlebih dahulu bagi memastikan tiada kenderaan atau motosikal yang masih mahu mencabar lampu merah. Inilah masalahnya, pengguna yang mematuhi undang-undang pula terpaksa menanggung risiko akibat tindakan mereka.

Lebih membimbangkan apabila ada yang sengaja melanggar lampu merah kerana mahu mengejar masa, tidak mahu menunggu atau merasakan tiada anggota penguat kuasa di kawasan sekitar. Sedangkan lampu merah tidak pernah memberikan pilihan untuk berhenti atau terus bergerak mengikut keselesaan sendiri. Ia adalah arahan yang wajib dipatuhi.

Rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menunjukkan sebanyak 32,471 notis saman dikeluarkan bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah dari Januari hingga Ogos 2024.

Jumlah itu menurun kepada 26,256 notis bagi tempoh sama pada 2025 sebelum mencatatkan 20,441 notis bagi Januari hingga Ogos 2026.

Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Menhat berkata, jumlah notis saman pada 2025 berkurang 6,215 atau 19.1 peratus berbanding 2024, manakala 2026 mencatatkan pengurangan 5,815 atau 22.1 peratus.

Namun, angka yang menurun tidak seharusnya diterjemahkan sebagai masalah sudah selesai kerana statistik lain menunjukkan perkembangan berbeza.

Artikel Berkaitan:

Notis panggilan temu siasat meningkat daripada 1,671 pada 2024 kepada 2,010 pada 2025 dan terus meningkat kepada 2,338 bagi Januari hingga Ogos 2026. Menurut Ahmad Kamarunzaman, peningkatan itu masing-masing sebanyak 20.3 peratus pada 2025 dan 16.3 peratus pada 2026 berbanding 2024.

JPJ Selangor juga mengambil pendekatan penguatkuasaan bersasar dengan memberi perhatian kepada lokasi yang mempunyai kekerapan kesalahan, aduan awam atau risiko kemalangan tinggi.

Anggota ditempatkan secara terselindung di lokasi strategik bagi merakam kesalahan, manakala kenderaan tidak berlogo digunakan untuk memantau tingkah laku sebenar pengguna jalan raya.

Teknologi turut digunakan menerusi sistem penguatkuasaan elektronik AwAS yang beroperasi 24 jam bagi mengesan serta merakam kesalahan melanggar lampu merah secara automatik.

Mesejnya jelas, jangan hanya berhenti apabila nampak anggota JPJ, berhentilah kerana lampu merah bermakna berhenti, walaupun tiada sesiapa memerhatikan.

Dalam Op HRA 2025, kesalahan melanggar lampu isyarat menjadi kesalahan tertinggi dikesan apabila 81 daripada 115 kes direkodkan.

Orang awam juga boleh menyalurkan maklumat melalui e-Aduan@JPJ dalam aplikasi MyJPJ, termasuk gambar atau video, lokasi GPS dan maklumat berkaitan kesalahan untuk membantu mengenal pasti lokasi panas.

Pada akhirnya, pelanggaran lampu merah bukan sekadar soal saman, ia adalah tindakan yang boleh memaksa pengguna lain membrek secara mengejut, mengelak secara drastik atau berdepan kemalangan hanya kerana seseorang enggan menunggu beberapa saat.

Kesilapan kecil di persimpangan boleh membawa akibat besar, bukan sahaja kepada pelanggar lampu merah, malah kepada keluarga dan pengguna jalan raya yang tidak berdosa.

Justeru, kepada mereka yang masih menganggap lampu merah boleh dilanggar ketika jalan kelihatan kosong, fikirkan semula.

Jalan raya bukan milik seorang, keselamatan pengguna lain tidak sepatutnya menjadi harga kepada beberapa saat yang mahu dijimatkan.

*Muhammad Aminnuraliff Mohd Zoki ialah wartawan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!