Kutipan derma di lampu isyarat undang risiko keselamatan

KOTA BHARU – Kutipan derma jalanan seperti di persimpangan lampu isyarat tidak sepatutnya berlaku, sebaliknya setiap kutipan sumbangan awam perlu melalui saluran yang ditetapkan, kata Ketua Pegawai Baitulmal Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Ridhwan Abdul Rahman.
Beliau menegaskan, setiap kutipan derma perlu mendapatkan surat kebenaran rasmi MAIK terlebih dahulu supaya dilaksanakan mengikut peraturan.
“Kalau di lampu isyarat tu dah terang-terang salah kerana babit isu keselamatan. Kadang-kadang masyarakat tengok seseorang memakai vest dan membawa tabung lalu menganggap kutipan itu sah, sedangkan perkara paling penting ialah perlu ada surat kebenaran mengutip derma.
“Sama juga yang meletakkan tabung di kaunter-kaunter bayaran, perlu ada surat sebagai bukti bahawa aktiviti berkenaan mendapat kelulusan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan projek rintis Rumah Sampah dan Kitar Semula di bawah Karnival Masjid Lestari di Masjid Jamek Muhammadi di sini pada Sabtu.
Ridhwan mengulas, surat kebenaran mengutip derma turut terpakai kepada badan bukan kerajaan atau mana-mana individu bagi menggelak penyalahgunaan dana.
“Apabila melibatkan kutipan dana awam atau derma, masyarakat perlu yakin wang yang disumbangkan sampai kepada tujuan sebenar.
“Sebab itu, apabila ada surat, kami dapat pastikan tiap kutipan ada sistem, pemantauan dan audit terhadap pihak yang diberi kebenaran,” katanya.
Beliau memaklumkan, tempoh kebenaran mengutip derma pula bergantung kepada tujuan kutipan termasuk untuk pembinaan masjid dan sebagainya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, MAIK turut menyediakan saluran Dana Awam Baitulmal bagi memudahkan masyarakat menyalurkan sumbangan secara berkala termasuk melalui potongan gaji kakitangan awam.
Menurut Ridhwan, setakat ini, kira-kira 200 kakitangan awam menyertainya secara sukarela dengan jumlah kutipan potongan gaji mencecah RM82,000 sejak diperkenalkan.
“Dalam Islam, soal amanah sangat penting.
“Sumbangan yang diberi perlu diurus dengan cara yang betul supaya manfaatnya sampai kepada golongan sasaran dan mengelak kitaran yang salah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

