Pendaki Malaysia perlu peka risiko AMS ketika 'trekking' di Himalaya

KATHMANDU - Rakyat Malaysia yang ingin melakukan aktiviti mengembara di kawasan tinggi terutama Banjaran Himalaya dinasihatkan sentiasa peka keadaan persekitaran dan risiko Sindrom Akut Gunung (AMS) yang boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira tahap kecergasan.
Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Kathmandu, Mohammad Firdaus Azman berkata, kebanyakan kemalangan dan kematian dalam kalangan pendaki di kawasan pergunungan Nepal mempunyai kaitan faktor altitud.
Menurutnya, AMS boleh menjadi serius sekiranya tidak dapat dikenal pasti dan ditangani pada peringkat awal.
"Rakyat Malaysia yang merancang untuk melakukan aktiviti trekking di Nepal perlu mempunyai pengetahuan asas mengenai AMS, termasuk mengenali tanda-tanda awal penyakit berkenaan, melakukan persediaan fizikal yang bersesuaian, mendapatkan nasihat perubatan serta membawa ubat yang diperlukan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis meraikan kejayaan dua kumpulan pendaki Malaysia yang berjaya menjalankan ekspedisi ke Mardi Himal Base Camp dan Everest Base Camp, di sebuah hotel di Kathmandu pada Ahad.

Mohammad Firdaus juga menasihatkan pendaki supaya menggunakan khidmat operator 'trekking' tempatan yang berdaftar dan berpengalaman bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mereka dipantau sepanjang berada di kawasan pergunungan.
"Bagi aktiviti trekking di kawasan pergunungan Nepal, saya tidak menggalakkan rakyat Malaysia melakukannya secara bersendirian atau sebagai 'backpacker' tanpa sokongan pihak yang berpengalaman kerana risikonya amat besar sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini," katanya.
Pada majlis itu, Harok Adventure yang dianggotai sembilan peserta merancang untuk melakukan pendakian ke Annapurna Base Camp (ABC) berkongsi pengalaman terpaksa menunggu selama empat hari di Pokhara berikutan keadaan laluan yang terjejas dan berbahaya akibat cuaca serta tanah runtuh.
Kumpulan itu terpaksa menukar destinasi ke Mardi Himal Base Camp pada paras ketinggian 4,500 meter dan berjaya menamatkan pendakian dalam tempoh empat hari sebelum kembali ke Pokhara dengan selamat.
Sementara itu, sembilan peserta daripada kumpulan Everest Base Camp (EBC) turut berdepan keadaan cuaca yang mencabar apabila salji semakin tebal di kawasan pendakian dan hanya hanya mampu meneruskan pendakian sehingga Dingboche pada paras 4,410 meter
Walaupun tidak dapat mencapai destinasi akhir seperti yang dirancang, kedua-dua kumpulan pendaki Malaysia itu tetap berjaya mengharungi cabaran pendakian yang mencabar dan mengambil keputusan untuk mengutamakan keselamatan dengan mematuhi arahan kerajaan Nepal serta pihak berkuasa tempatan.
Kedua-dua ekspedisi ke Mardi Himal Base Camp dan Everest Base Camp berkenaan dikendalikan oleh operator tempatan, Pendaki Solo Tours, yang diterajui oleh pendaki dan pengembara berpengalaman pendaki solo, Mohd Noor Mat Amin bersama isterinya, Dripatu Pun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
