MASFIH mohon BNM bantu ringankan beban keluarga mangsa hilang di Nepal

Rumah-rumah yang sebahagiannya ditenggelami air berlumpur kelihatan di sepanjang tebing sungai selepas banjir kilat melanda Trishuli Bazar di daerah Nuwakot, Nepal, pada 26 Ogos lalu. Foto AFP
Rumah-rumah yang sebahagiannya ditenggelami air berlumpur kelihatan di sepanjang tebing sungai selepas banjir kilat melanda Trishuli Bazar di daerah Nuwakot, Nepal, pada 26 Ogos lalu. Foto AFP
A
A
A

 

SHAH ALAM - Malaysia Solidarity Families in Hope (MASFIH) memohon agar Bank Negara Malaysia (BNM) mempertimbangkan satu mekanisme atau kerangka tindakan secara menyeluruh serta bersepadu bagi membantu keluarga 54 rakyat Malaysia yang masih belum ditemui, susulan tragedi banjir kilat serta tanah runtuh di Nepal pada 26 Ogos lalu.

Jurucakap MASFIH, Dr Manivannan Rethinam, ia bagi membantu keluarga yang terkesan mengurus komitmen kewangan sepanjang tempoh ketidakpastian ini.

Menurutnya, kerangka tersebut boleh merangkumi moratorium, penangguhan atau penstrukturan sementara bayaran bagi komitmen kewangan yang berkaitan sehingga kedudukan undang-undang dapat ditentukan.

"Keluarga tidak meminta hutang dihapuskan. Apa yang diperlukan ialah ruang untuk bernafas sementara status undang-undang insan tersayang belum dapat dipastikan.

"Kami juga memohon agar BNM mewujudkan mekanisme penyelarasan berpusat bersama institusi kewangan berkaitan, supaya keluarga tidak perlu berhadapan dengan setiap institusi secara berasingan dan bantuan sementara dapat dilaksanakan secara teratur serta konsisten.

"Bagi komitmen kenderaan yang tidak lagi mampu ditanggung, pilihan penyelesaian yang munasabah, termasuk pemulangan atau penyerahan kenderaan secara sukarela dan teratur, juga wajar dipertimbangkan," katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, Kementerian Luar mengesahkan seorang rakyat Malaysia yang dilaporkan tidak dapat dihubungi susulan banjir dan tanah runtuh di Nepal telah selamat kembali ke tanah air.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan, individu berkenaan hadir sendiri ke Kedutaan Malaysia di Kathmandu pada 1 Oktober untuk pengesahan identiti sebelum pulang ke Malaysia pada keesokan harinya.

Artikel Berkaitan:

Dengan perkembangan itu, 54 lagi rakyat Malaysia masih direkodkan sebagai tidak dapat dihubungi.

Tambah MASFIH, pihaknya berharap agar pertemuan dengan BNM dapat diadakan dalam tempoh dua hingga tiga hari.

"Ini kerana sebahagian isu kewangan berkait rapat dengan kedudukan undang-undang individu, kehadiran wakil Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam pertemuan tersebut adalah penting supaya aspek kewangan dan undang-undang dapat dibincangkan secara menyeluruh," ujarnya.

Selain itu, MASFIH memohon agar wakil waris dapat bertemu secara langsung dengan Perdana Menteri secepat mungkin.

"Kami menghargai tindakan Perdana Menteri yang telah berhubung dengan Perdana Menteri Nepal serta mengarahkan Peguam Negara untuk berunding dengan pihak Nepal.

"Namun, selepas 40 hari, keluarga amat memerlukan ruang untuk menyampaikan sendiri kebimbangan dan keperluan mereka secara langsung kepada Perdana Menteri," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!