[VIDEO] RM314 juta hasil kerajaan tertunggak, cek RM231 juta MyEG tidak diproses
PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) mendedahkan sebanyak RM314 juta hasil kerajaan masih belum dipindahkan oleh MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September 2026.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, jumlah berkenaan membabitkan kutipan hasil kerajaan yang sepatutnya dipindahkan ke akaun terimaan utama Pejabat Perakaunan MOT mengikut tempoh ditetapkan.
Menurutnya, syarikat berkenaan bertanggungjawab memindahkan kutipan hasil kerajaan secara harian, iaitu satu hari bekerja selepas transaksi dilaksanakan atau T+1.
“Bermula 19 Mei 2026 sehingga 30 September 2026, jumlah keseluruhan tuntutan terhadap syarikat-syarikat tersebut adalah sebanyak RM314 juta melibatkan kutipan hasil kerajaan yang belum dipindahkan ke akaun terimaan utama Pejabat Perakaunan MOT,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.
Anthony berkata, kerajaan telah mengambil beberapa langkah sejak Mei lalu bagi mendapatkan semula kutipan hasil berkenaan termasuk mengadakan empat sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan, termasuk Kementerian Kewangan.

Selain itu katanya, sebanyak 35 notis peringatan turut dikeluarkan kepada pihak syarikat serta tempoh penyelesaian tunggakan ditetapkan.
Bagaimanapun, beliau berkata, usaha berkenaan masih gagal menyelesaikan tunggakan apabila cek bernilai RM231 juta yang diserahkan syarikat tidak diproses oleh pihak bank.
“Pada 21 Ogos 2026, pihak syarikat telah menyerahkan satu cek bertarikh 30 September 2026 bernilai RM231 juta sebagai penyelesaian tunggakan pada ketika itu.
“Walau bagaimanapun, apabila cek tersebut dikreditkan pada 30 September, iaitu beberapa hari lalu, pihak bank tidak memproses cek tersebut atas arahan pihak syarikat tersebut,” katanya.
Susulan itu, Anthony berkata, MOT dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terpaksa mengambil langkah menggantung perkhidmatan pembayaran menggunakan saluran MyEG dan Zetrix AI berkuat kuasa 5 Oktober 2026.
Beliau menegaskan keputusan berkenaan dibuat selepas kerajaan memberikan banyak peluang kepada pihak syarikat untuk menyelesaikan tunggakan tersebut.
“Syarikat tidak patut ada apa-apa alasan. Sepatutnya mereka mengutip bayaran itu, ia kena bayarlah.
“Berulang kali kita dah bagi banyak peluang, kita dah keluarkan banyak notis peringatan, adakan berkali-kali mesyuarat sejak beberapa bulan lalu,” katanya.
Menurut Anthony, MyEG dan Zetrix AI hanyalah ejen pemungut hasil bagi pihak JPJ dan wang yang dikutip merupakan wang pembayar cukai atau pembayar lesen.
“Sepatutnya mereka pindahkan. Jadi kutipan itu sepatutnya diterima oleh JPJ secara sepenuhnya,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Anthony berkata, penggantungan tersebut akan berterusan sehingga keseluruhan tunggakan dilangsaikan sebelum kerajaan mempertimbangkan untuk membuka semula saluran berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan turut akan mengambil tindakan perundangan yang sewajarnya bagi mendapatkan semula keseluruhan tunggakan kutipan hasil kerajaan daripada syarikat terbabit.
“Jadi sudah tentunya kita akan mengambil tindakan sivil dan tindakan undang-undang yang lain untuk menuntut semula wang kerajaan,” katanya.
Anthony turut menegaskan kerajaan memandang serius sebarang ketidakpatuhan dalam pengurusan dan pemindahan hasil awam serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal memenuhi tanggungjawab berkaitan wang kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

