Saham Zetrix AI 'limit down'

SAHAM Zetrix AI Bhd (dulu dikenali MyEG Services Bhd) mencecah had penurunan maksimum (limit down) dalam dagangan hari ini selepas menjunam 30 sen kepada 29.5 sen sesaham, sekali gus mendorong Bursa Securities menggantung jualan singkat harian intraday (IDSS) bagi saham tersebut.
Sehingga jam 5 petang, lebih 1 bilion saham syarikat perkhidmatan digital itu telah diniagakan, menjadikannya kaunter paling aktif di Bursa Malaysia dengan tekanan jualan yang tinggi.
Aktiviti jualan singkat di bawah mekanisme IDSS telah digantung bagi baki dagangan hari tersebut berikutan pelanggaran had penurunan harga, dan akan diaktifkan semula pada hari dagangan berikutnya pada 1 September jam 8.30 pagi.
Setakat ini, tiada sebab rasmi diberikan berhubung kejatuhan mendadak harga saham tersebut. Namun, pelabur telah mula mengurangkan pegangan mereka sejak semalam apabila saham itu kehilangan hampir 10 peratus nilainya akibat tekanan jualan yang tinggi.
Pada 24 Ogos, Zetrix mengumumkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 35 peratus tahun ke tahun kepada RM269.25 juta bagi suku kedua tahun ini, didorong oleh sumbangan daripada perniagaan kecerdasan buatan (AI), Web3 dan blockchain. Syarikat itu turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak 0.25 sen sesaham.
Menurut analisis pasca keputusan kewangan oleh BIMB Securities pada 26 Ogos, prospek pertumbuhan Zetrix kekal disokong oleh perkembangan perdagangan antara Malaysia dan China, dengan nilai perdagangan bersama China meningkat 24.3 peratus tahun ke tahun kepada RM127.9 bilion dalam tempoh tujuh bulan pertama 2026.
BIMB Securities mengekalkan saranan 'Beli' ke atas saham tersebut dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.30 sesaham.
Zetrix AI menukar namanya pada Julai 2025 berikutan perubahan fokus perniagaan kepada teknologi maju seperti kecerdasan buatan (AI), blockchain dan robotik.
Melalui platform MYEG, syarikat itu terus menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk insurans kenderaan dan perkhidmatan berkaitan dokumentasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
