Isu CCTV, kawalan keselamatan sekolah perlu audit menyeluruh - NGO

Daniel mencadangkan PDRM memperkukuh mekanisme pencegahan melalui pemantauan dan rondaan berkala di kawasan sekolah.
Daniel mencadangkan PDRM memperkukuh mekanisme pencegahan melalui pemantauan dan rondaan berkala di kawasan sekolah.
A
A
A

SHAH ALAM – Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) menuntut aspek pemasangan dan keberkesanan kamera litar tertutup (CCTV), kawalan keluar masuk serta rondaan keselamatan di sekolah yang menjadi lokasi kematian pelajar perempuan berusia 16 tahun di Yong Peng, Johor, diaudit secara menyeluruh.

Pengerusi MCCC Pahang, Daniel Khoo berkata, langkah itu penting bagi mengenal pasti sama ada terdapat sebarang jurang pemantauan keselamatan yang boleh diperbaiki, khususnya di lokasi yang mempunyai risiko kepada keselamatan murid.

Menurutnya, persoalan utama bukan sekadar sama ada sesebuah sekolah mempunyai CCTV, sebaliknya sejauh mana sistem itu mampu berfungsi sebagai mekanisme pencegahan dan membantu siasatan apabila berlaku kejadian tidak diingini.

"Sekarang kita perlu tahu, sekolah berkenaan ada CCTV atau tidak? Kalau ada, CCTV itu dipasang di mana dan kawasan mana yang dipantau?

"Adakah ia meliputi laluan pelajar, pintu masuk, koridor dan kawasan lain yang mempunyai risiko keselamatan?” katanya pada Sabtu.

Pada Jumaat, negara dikejutkan dengan pemergian pelajar tingkatan empat, Irene Sofiya Mohd Khairoul Faisal, yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor.

Dalam kejadian 5.30 petang, media melaporkan Irene Sofiya, 16, ditemukan mati dengan kesan kecederaan di badan dipercayai dibunuh, di dalam dewan sekolah menengah di Yong Peng.

Mangsa ditemukan nenek dan rakannya yang datang ke sekolah selepas menyedari mangsa tidak pulang ke rumah, walaupun kelas tambahan sudah berakhir.

Kes berkenaan kini disiasat polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dengan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun turut direman enam hari bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan pemeriksaan menyeluruh terhadap aspek pengurusan dan keselamatan sekolah berkenaan termasuk rekod kehadiran murid ketika kelas tambahan, kawalan keselamatan serta rondaan di kawasan sekolah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan segera, menyeluruh dan telus bagi mengenal pasti punca serta perkara sebenar yang berlaku.

Mengulas lanjut Daniel berkata, audit keselamatan perlu menilai jumlah kamera yang dipasang, lokasi pemasangan, keadaan peralatan, tempoh penyimpanan rakaman serta pihak yang bertanggungjawab memantau sistem berkenaan.

"Jangan sekadar mengatakan sesebuah sekolah mempunyai CCTV. Kita perlu tahu berapa banyak kamera dipasang, di mana lokasinya, siapa yang memantau dan adakah rakaman itu boleh digunakan apabila berlaku sesuatu kejadian," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) juga wajar mempunyai rekod jelas mengenai tahap keselamatan setiap sekolah termasuk kawasan yang mempunyai kamera serta lokasi yang masih mempunyai jurang pemantauan.

Katanya, pendekatan itu penting supaya kelemahan keselamatan dapat dikenal pasti dan ditambah baik lebih awal, bukannya hanya selepas berlaku tragedi.

"Berapa banyak lagi perkara perlu berlaku sebelum kita benar-benar melihat keselamatan sekolah sebagai satu perkara yang serius?

"Kita tidak boleh memandang ringan isu ini. Apabila melibatkan nyawa pelajar, semua kelemahan perlu dilihat dan diperbaiki,” katanya.

Dalam pada itu, Daniel mencadangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkukuh mekanisme pencegahan melalui pemantauan dan rondaan berkala di kawasan sekolah.

Menurutnya, kehadiran berkala pihak berkuasa dapat membantu mengenal pasti lebih awal risiko seperti kemasukan individu luar, kegiatan gangsterisme, pergaduhan dan ancaman lain terhadap keselamatan warga sekolah.

"Kita berharap Ketua Polis Negara dapat melihat perkara ini dan mempertimbangkan satu mekanisme pemantauan berkala di sekolah.

"Tidak semestinya setiap sekolah perlu mempunyai anggota polis secara tetap, tetapi pemantauan dan rondaan berkala perlu dilakukan supaya kita tahu apa yang berlaku di kawasan sekolah dan dapat mengesan sebarang risiko lebih awal,” katanya.

Daniel turut mencadangkan fungsi pasukan kadet di sekolah dimanfaatkan sebagai salah satu saluran pencegahan, khususnya dalam membantu pihak sekolah mengenal pasti isu keselamatan pada peringkat awal.

Katanya, pelajar yang menyertai pasukan kadet boleh diberikan pendedahan bersesuaian untuk menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan gangsterisme, buli atau masalah keselamatan kepada pihak sekolah dan PDRM.

"Setiap sekolah ada kadet. Persoalannya, kadet ini mempunyai fungsi atau tidak dalam membantu aspek keselamatan dan pencegahan jenayah?

"Kalau dilatih dengan betul, mereka boleh menjadi mata dan telinga PDRM di peringkat sekolah kerana mereka lebih dekat dengan rakan sebaya dan mungkin mengetahui perkara yang berlaku lebih awal," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan cadangan itu perlu dilaksanakan berdasarkan garis panduan jelas dan tidak bermaksud pelajar mengambil alih tugas guru atau polis.

Sebaliknya beliau berkata, maklumat yang disalurkan boleh membantu pihak sekolah dan PDRM mengenal pasti sesuatu masalah lebih awal sebelum keadaan menjadi serius.

Pada masa sama Daniel berkata, ibu bapa yang mendapati pihak sekolah tidak mengambil serius sebarang isu berkaitan keselamatan pelajar boleh menyalurkan aduan kepada MCCC melalui talian 014-994 6697 untuk perhatian dan tindakan lanjut.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!