Irene Sofiya maut dibunuh: Hasrat 'staycation' sambut hari lahir tinggal kenangan

Irene Sofiya meninggal dunia dalam kejadian bunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, semalam.
Irene Sofiya meninggal dunia dalam kejadian bunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, semalam.
A
A
A

YONG PENG - Hasrat Irene Sofiya Mohd Khairool untuk mengadakan staycation bersama dengan rakan-rakan sambil meraikan ulang tahun kelahiran mereka pada Disember ini tidak kesampaian selepas pelajar Tingkatan Empat itu meninggal dunia dalam kejadian bunuh di sebuah sekolah menengah di sini, semalam.

Rakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Rina, 16, berkata, mereka lazimnya mengadakan staycation setiap tahun pada Disember, sekali gus meraikan ulang tahun kelahiran Irene Sofiya dan dua lagi rakan dalam kumpulan berkenaan.

"Setiap tahun, memang kami buat staycation. Tahun ini pun tengah rancang, selepas peperiksaan memang nak buat. Dia teruja sangat sebab kami nak bersolek, bersiap sama-sama dan sambut hari jadi sekali,” katanya ketika ditemui Bernama di kediaman keluarga mangsa, di sini.

Selain staycation, mereka turut merancang keluar beramai-ramai ke sebuah kedai rangkaian kopi tempatan terkenal sebagai ganjaran kepada diri sendiri selepas selesai peperiksaan.

Bagaimanapun, Rina tidak menyangka dia kemudiannya menjadi individu pertama menemukan Irene Sofiya dalam keadaan berlumuran darah selepas mula berasa tidak sedap hati apabila menyedari rakannya itu tidak hadir ke kelas tambahan sedangkan motosikalnya masih berada di kawasan sekolah.

Katanya, dia cuba menghubungi Irene Sofiya menerusi panggilan telefon sebanyak tiga kali, namun tidak mendapat jawapan, sebelum pergi ke rumah nenek mangsa bagi memastikan sama ada rakannya itu sudah pulang.

Selepas mendapati Irene Sofiya tiada di rumah, Rina kembali ke sekolah dan mengajak beberapa rakan lain mencarinya.

”Kemudian, saya nampak pintu dewan sekolah terbuka, sedangkan pintu dewan sentiasa tertutup, jadi saya tak sedap hati dan ajak dua lagi rakan untuk tengok ke dalam dewan,” katanya dan menambah, terlihat kaki rakannya dari jauh berhampiran bahagian bawah pentas.

"Mula-mula nampak dari jauh, nampak kaki dia. Lepas itu kami datang dekat dan terus jerit panggil pengawal keselamatan dan cikgu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Rina menyifatkan Irene Sofiya sebagai seorang pelajar pintar, lemah lembut dan tidak banyak bercakap serta disenangi rakan-rakan.

Seorang lagi rakan mangsa yang mahu dikenali sebagai Syiha pula berkata, Irene Sofiya merupakan seorang yang mudah tersenyum, aktif dalam pergerakan Puteri Islam serta sering diberi kepercayaan menjadi pengacara majlis di sekolah.

Terdahulu, seorang remaja lelaki berumur 16 tahun yang juga rakan sekelas mangsa direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes kematian Irene Sofiya yang ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, suspek ditahan kira-kira 7 malam tadi di sekitar Yong Peng, kira-kira sejam selepas polis menerima maklumat tentang kejadian berkenaan daripada orang awam pada kira-kira 5.50 petang. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Pelajar ditemui maut di sekolah disyaki dibunuh

Pelajar maut di sekolah: Nenek lihat Fiya terkulai, berlumuran darah dalam dewan sekolah

Pelajar maut di sekolah: 'Fiya nak jadi doktor macam arwah ibu' - Ibu saudara

Pelajar maut di sekolah: Tiada kompromi terhadap buli, jenayah di sekolah - Exco

Pelajar maut dibunuh: 'Irene Sofia pelajar cemerlang, harapan 9A di sekolah' - Rakan

Pelajar maut dibunuh: 3 pelajar lelaki ditahan, seorang direman pagi ini

Irene Sofiya maut dibunuh: Pelajar lelaki direman enam hari

Irene Sofiya maut dibunuh: Polis rampas telefon bimbit, pakaian suspek

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!