Irene Sofiya maut dibunuh: Pemimpin Pas gesa siasatan segera, audit keselamatan sekolah

Ahmad Fadhli (kiri) dan Afnan Hamimi menggesa KPM supaya mengenalpasti permasalahan akar yang berlaku di institusi pendidikan buat masa ini.
Ahmad Fadhli (kiri) dan Afnan Hamimi menggesa KPM supaya mengenalpasti permasalahan akar yang berlaku di institusi pendidikan buat masa ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas menggesa suatu siasatan yang segera dan menyeluruh berikutan laporan kes kematian seorang pelajar Tingkatan Empat di sebuah sekolah di daerah Yong Peng, Batu Pahat, Johor.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, kejadian tersebut nyata menggemparkan institusi pendidikan negara yang terus menerus dihantui dengan pelbagai tragedi mutakhir ini.

"Perkara utama yang menjadi tanda tanya di sini adalah apakah sekolah masih lagi merupakan kawasan selamat untuk anak-anak didik hadir dan belajar?

"Kejadian buli apatah lagi kes-kes kematian yang dilaporkan saban waktu dan semakin meruncing ini memberikan suatu tanda bahawa institusi pendidikan negara berada dalam keadaan tidak selamat," katanya menerusi laman Facebook pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN:Pelajar ditemui maut di sekolah disyaki dibunuh

Pelajar maut di sekolah: Nenek lihat Fiya terkulai, berlumuran darah dalam dewan sekolah

Pelajar maut di sekolah: 'Fiya nak jadi doktor macam arwah ibu' - Ibu saudara

Pelajar maut di sekolah: Tiada kompromi terhadap buli, jenayah di sekolah - Exco

Pelajar maut dibunuh: 'Irene Sofia pelajar cemerlang, harapan 9A di sekolah' - Rakan

Artikel Berkaitan:

Pelajar maut dibunuh: 3 pelajar lelaki ditahan, seorang direman pagi ini

Irene Sofiya maut dibunuh: Pelajar lelaki direman enam hari

Sebelum ini, seorang pelajar Tingkatan Empat ditemui maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng pada Sabtu.

Menurut sumber, remaja berusia 16 tahun itu ditemui sudah tidak bernyawa dalam dewan di sekolah terbabit pada sebelah petang.

Tambah Afnan Hamimi, Pemuda Pas turut menyarankan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya mengenalpasti permasalahan akar yang berlaku di institusi pendidikan buat masa ini.

Jelasnya, ia khususnya dari aspek akhlak dan moral murid yang turut berkait dengan disiplin mereka.

"Apakah sempadan ketegasan kepada para pendidik pada hari ini menyebabkan anak didik di sekolah semakin hilang pertimbangan mereka? Tepuk dada tanyalah selera," ulasnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, KPM perlu melakukan audit segera terhadap aspek keselamatan sekolah.

Beliau memberitahu, terutamanya kawalan selepas waktu persekolahan, kelas tambahan, pemantauan kawasan sekolah dan mekanisme mengesan ancaman keganasan dan salah laku dalam kalangan pelajar.

"Sekolah sepatutnya menjadi antara tempat paling selamat untuk anak-anak kita. Ibu bapa menghantar anak ke sekolah dengan satu kepercayaan besar bahawa keselamatan mereka akan dijaga, kepercayaan ini tidak boleh dibiarkan terhakis.

"Jika terdapat kelemahan sistem, akuilah dan perbaikilah. Jangan tunggu satu lagi nyawa melayang sebelum tindakan lebih tegas diambil," katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Irene Sofiya terutama kepada nenek yang menjadi penjaganya.

"Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian yang amat berat ini," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!