Pelajar maut di sekolah: 'Fiya nak jadi doktor macam arwah ibu' - Ibu saudara

Siti Nur Faeza berkata, Fiya (gambar kanan) pernah berkongsi dengannya mengenai hasrat untuk menjadi doktor apabila dewasa kelak.
Siti Nur Faeza berkata, Fiya (gambar kanan) pernah berkongsi dengannya mengenai hasrat untuk menjadi doktor apabila dewasa kelak.
A
A
A

BATU PAHAT - Cita-cita Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, untuk mengikut jejak langkah arwah ibunya sebagai doktor tidak kesampaian selepas pelajar Tingkatan Empat itu ditemukan maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng pada Sabtu.

Ibu saudaranya, Siti Nur Faeza Khyar, 45, berkata, Fiya pernah berkongsi dengannya mengenai hasrat untuk menjadi doktor apabila dewasa kelak.

“Fiya pernah cakap dengan mak long, antara doktor, doktor mana yang Fiya nak jadi. Saya jawab pakar sakit puan, Fiya juga nak jadi seperti arwah ibunya sebagai doktor kesihatan awam.

“Dia memang ada cita-cita besar dan sangat suka belajar,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Selamat, Yong Peng dekat sini, pada malam Sabtu.

Menurut Faeza yang juga seorang guru, anak saudaranya itu seorang yang pendiam dan rajin mengulang kaji pelajaran, malah sering memperoleh keputusan di tempat pertama atau kedua dalam tingkatan.

Seorang pelajar Tingkatan Empat ditemukan maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng pada Sabtu.
Seorang pelajar Tingkatan Empat ditemukan maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng pada Sabtu.

Katanya, Fiya juga merupakan antara pelajar yang berpotensi memperoleh keputusan 9A di sekolah berkenaan.

“Fiya memang suka mengulang kaji dan sangat fokus terhadap pelajaran. Dia anak yang pendiam dan tidak banyak kerenah," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Siti Nur Faeza berkata, dia tidak dapat membayangkan ketakutan dan kesakitan yang mungkin dilalui Fiya ketika kejadian, terutama ketika berada di dalam dewan yang gelap.

“Tindakan pelaku sangat kejam. Saya tidak boleh bayangkan bagaimana dia menghadapi keadaan itu dalam dewan yang gelap.

“Lebih menyedihkan apabila memikirkan bagaimana dia menghadapi ketakutan dan kesakitan sementara menunggu kami datang,” ujarnya.

Beliau berharap polis dapat menjalankan siasatan dengan segera dan memastikan individu yang bertanggungjawab menerima hukuman setimpal.

Dalam pada itu, Siti Nur Faeza berkata, Fiya merupakan anak tunggal dan kehilangan ibunya ketika berusia lapan tahun akibat kanser hati.

Ibunya yang juga seorang doktor pernah bertugas di Hospital Serdang, manakala bapanya bekerja sebagai jurutera di Bangi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!