Impian ke LA28 belum berakhir - Marhan

KEKALAHAN 1-5 kepada India pada final hoki lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 semalam tidak mematahkan keyakinan kapten pasukan negara Muhammad Marhan Mohd Jalil bahawa Malaysia masih mampu melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Malaysia terlepas peluang untuk memperoleh tiket automatik ke LA28 selepas tewas kepada juara bertahan India pada aksi final di Gifu Prefectural Green Stadium, namun Marhan melihat beberapa perkembangan positif ditunjukkan pasukan sepanjang kejohanan.
"Sudah tentu kami berasa sedih kerana tidak dapat beraksi dengan baik pada final. India menunjukkan prestasi yang sangat baik dan mereka memenangi pingat emas. Berbanding tiga bulan lepas, kami dapat mengaplikasikan permainan dengan lebih baik di atas padang.
"Kami berjaya menewaskan Pakistan dan Korea Selatan. Kami hanya tidak dapat menewaskan India pada final," katanya.
Marhan berkata, skuad negara perlu memperbaiki persembahan dalam perlawanan penting selain memastikan semua pemain memainkan peranan secara kolektif dan tidak bergantung kepada individu tertentu.
"Kami perlu bermain dengan lebih baik dalam perlawanan penting. Kami tidak boleh mengharapkan seorang atau dua pemain untuk melakukan tugas itu kerana semua pemain di atas padang perlu bekerja bersama secara lebih tersusun," katanya.
Mengulas peluang Malaysia untuk memburu tiket LA28 menerusi pusingan kelayakan Olimpik, Marhan kekal optimis skuad negara mampu mencapai sasaran tersebut.
"Kami akan melalui pusingan kelayakan Olimpik dan saya berharap semua pemain akan terus bekerja keras. Saya percaya kami mampu layak.
"Jurulatih akan mengenal pasti bahagian yang perlu diperbaiki dan diharapkan semuanya dapat disatukan untuk kami," katanya.
Skuad negara selepas ini akan memberi tumpuan kepada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di India dari 27 Oktober hingga 5 November. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
