Speedy Tigers gagal tamat penantian 68 tahun

Speedy Tigers sekadar meraih perak selepas tewas 1-5 kepada India pada aksi final di Gifu Prefectural Green Stadium pada Sabtu. FOTO: Bernama
Speedy Tigers sekadar meraih perak selepas tewas 1-5 kepada India pada aksi final di Gifu Prefectural Green Stadium pada Sabtu. FOTO: Bernama
A
A
A

PENANTIAN 68 tahun Speedy Tigers untuk meraih emas hoki lelaki Sukan Asia berterusan apabila skuad kendalian Brendon Carolan tewas 1-5 kepada juara bertahan India pada aksi final Aichi-Nagoya 2026 sebentar tadi.

India membuka tirai jaringan menerusi kaptennya, Harmanpreet Singh pada minit ke-11 hasil pukulan sudut penalti, sebelum Shello Silverius menyamakan kedudukan buat Malaysia tiga minit kemudian menerusi gol padang.

Jugraj Singh kembali meletakkan India di depan pada minit ke-23 menerusi pukulan sudut penalti untuk membolehkan India mendahului 2-1 pada separuh masa pertama.

Malaysia kemudian semakin ketinggalan apabila Hardik Singh menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-42, diikuti gol padang Shilanand Lakra pada minit ke-54.

Harmanpreet kemudian melengkapkan jaringan keduanya pada minit ke-57 menerusi pukulan sudut penalti untuk mengesahkan kemenangan 5-1 India.

Kejayaan itu menyaksikan India mempertahankan emas yang dimenangi di Hangzhou 2022, manakala Malaysia sekali lagi berpuas hati dengan perak selepas turut menjadi naib juara di Guangzhou 2010 dan Jakarta-Palembang 2018.

Malaysia yang memburu emas sejak hoki lelaki dipertandingkan pada Sukan Asia 1958 turut terlepas peluang mendapatkan tiket automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 menerusi kejayaan di Aichi-Nagoya.

Bagaimanapun, laluan ke LA28 masih terbuka melalui kejohanan kelayakan Olimpik FIH.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!