Faizal Saari akui India berada di kelas tersendiri, hampakan Speedy Tigers

Faizal Saari - Foto: IG faizalsaari
Faizal Saari - Foto: IG faizalsaari
A
A
A

PENYERANG skuad hoki lelaki negara, Faizal Saari mengakui India berada di kelas tersendiri selepas membelasah Malaysia 5-1 pada aksi final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Gifu Prefectural Green Stadium di sini hari ini.

Faizal berkata, skuad negara sudah melakukan yang terbaik untuk menyekat India namun gagal mengekalkan momentum selepas memberi saingan sengit pada separuh masa pertama.

India membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti Harmanpreet Singh pada minit ke-11, sebelum Shello Silverius menyamakan kedudukan tiga minit kemudian menerusi gol padang.

Namun, India kembali menguasai permainan dengan Jugraj Singh meletakkan mereka di depan pada minit ke-23 menerusi pukulan sudut penalti sebelum Hardik Singh menyumbat gol pada minit ke-42.

Shilanand Lakra kemudian melebarkan jurang pada minit ke-54 sebelum Harmanpreet melengkapkan kemenangan India dengan gol daripada pukulan sudut penalti pada minit ke-57.

Faizal berkata, skuad negara sudah menjangkakan India sebagai pilihan utama, dan persiapan khusus telah dilakukan bagi mengekang kekuatan pasukan ranking kelapan dunia itu.

"Kami tahu India adalah pasukan pilihan dan kami sudah mengkaji permainan mereka... kami cuba sedaya upaya untuk mengekang mereka… kami cuba meneutralkan kepantasan mereka dan ia berhasil pada separuh masa pertama.

"Saya rasa kami bermain baik pada suku pertama dan kedua tetapi tidak dapat mengekalkan momentum itu sehingga tamat perlawanan," katanya.

India adalah pasukan yang berada di kedudukan lebih tinggi berbanding Malaysia di ranking ke-12 dunia.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan ke atas India bukan sahaja membolehkan Malaysia meraih pingat emas malah menjamin slot automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028, yang menjadi antara sasaran utama skuad negara.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia sekali lagi terlepas peluang untuk menamatkan penantian meraih emas hoki lelaki Sukan Asia selepas tewas 0-2 kepada Pakistan pada final edisi 2010 dan kalah kepada Jepun menerusi penentuan penalti pada 2018 selepas mensia-siakan kelebihan 5-2. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!