Kisah cinta Tun Mahathir, Tun Hasmah tiada bandingan - Syed Saddiq

KUALA LUMPUR - Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan perjalanan cinta Tun Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali tiada bandingan, sambil menegaskan beliau dan Bella Astillah masih terlalu awal untuk dibandingkan dengan pasangan berkenaan.
Menurut Syed Saddiq, beliau dan Bella baru memulakan perjalanan menuju alam rumah tangga, sedangkan Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Hasmah telah melalui kira-kira tujuh dekad kehidupan bersama.
“Saya rasa kami tidak layak untuk dibandingkan dengan mereka berdua. Tidak dekat pun, tidak sampai satu peratus.
“Kerana kami ni baru nak berkahwin, nak menghalalkan hubungan. Mereka sudah 70 tahun, 70 tahun meraikan cinta dan kebijaksanaan bersama.
“Kami baru nak mengarang muka surat pertama.
“Mereka bukan mengarang muka surat pertama, mungkin dah ada perpustakaan sendiri yang boleh kongsikan kisah cinta mereka.
“Bukan satu buku, dah beribu buku dah,” katanya pada sesi sidang media Walimatulurus Syed Saddiq dan Bella Astillah, di sini, pada Jumaat.
Syed Saddiq berkata, beliau memahami perbandingan itu mungkin dibuat dengan niat yang baik, namun beliau dan Bella hanya mampu mengambil perjalanan hidup pasangan berkenaan sebagai sumber inspirasi.
“Apa yang kami boleh buat adalah untuk mendapat sedikit semangat inspirasi daripada mereka.
“Walaupun satu peratus pun dapat kebaikan dan jasa yang mereka dapat sumbangkan, itu pun merupakan nikmat yang luar biasa,” jelasnya.
Beliau turut mengajak orang ramai mendoakan Allahyarham Tun Dr Hasmah ditempatkan dalam kalangan orang beriman, selain mendoakan Tun Dr Mahathir diberikan kekuatan dan kembali pulih sepenuhnya selepas kehilangan isteri tercinta.
Syed Saddiq dan Bella bakal diijabkabulkan pada 10 Oktober ini, sebelum mengadakan majlis resepsi di Kuala Lumpur pada 18 Oktober nanti.
Pasangan itu turut merancang mengadakan Kenduri Rakyat di Muar, Johor pada 25 Oktober dan Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
