MAHA Klinik bukti cinta Tun Dr Mahathir kepada Tun Dr Hasmah

Nama unik klinik swasta pertama bumiputera yang ditubuh pada 1957 itu adalah gabungan rasmi daripada nama ‘Mahathir’ dan ‘Hasmah’.
Nama unik klinik swasta pertama bumiputera yang ditubuh pada 1957 itu adalah gabungan rasmi daripada nama ‘Mahathir’ dan ‘Hasmah’.
A
A
A

ALOR SETAR – Nama MAHA Klinik di sini bukan sekadar merujuk kepada sebuah pusat rawatan yang mempunyai sejarah panjang, malah menjadi simbol dan tinggalan yang mengabadikan kisah kasih sayang antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohamad Ali.

Pembantu Tadbir MAHA Klinik, Mercy Samuel, 69, berkata, nama unik klinik swasta bumiputera yang ditubuhkan pada 1957 itu merupakan gabungan nama 'Mahathir' dan 'Hasmah'.

Menurut beliau, hubungan pasangan tersebut amat rapat sehingga Allahyarhamah Tun Dr Hasmah sering dilihat menemani Tun Dr Mahathir dalam pelbagai urusan, termasuk ketika berkunjung ke klinik berkenaan.

“Tun Dr Mahathir tidak ke mana-mana tanpa Tun Dr Hasmah. Di mana sahaja beliau berada, Allahyarham akan sentiasa bersama.

“Kami yang mengenali mereka sejak dahulu dapat melihat sendiri betapa eratnya hubungan mereka,” katanya ketika ditemui di MAHA Klinik pada Isnin.

Tun Dr Hasmah, 100, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.20 pagi Isnin.

Berita pemergian Allahyarhamah disahkan oleh anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir sebelum turut dikongsikan oleh Tun Dr Mahathir.

Pemergian tokoh perubatan yang banyak berjasa kepada masyarakat itu turut dirasai warga MAHA Klinik yang menyimpan pelbagai kenangan bersama pasangan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dr Reshampreet (kiri) dan Mercy menunjukkan nama MAHA Klinik di Alor Setar.
Dr Reshampreet (kiri) dan Mercy menunjukkan nama MAHA Klinik di Alor Setar.

Mercy berkata, klinik itu telah diambil alih oleh Datuk Dr Mohamed Yacob Dawood daripada Tun Dr Mahathir sekitar penghujung 1970-an.

Bagaimanapun, menurutnya, setiap kali pasangan tersebut pulang ke Alor Setar, mereka tidak pernah melupakan MAHA Klinik dan sering singgah untuk bertanya khabar kepada kakitangan.

“Setiap kali Ramadan, mereka juga tidak pernah lupa mengajak kakitangan klinik berbuka puasa bersama di rumah saudara mereka di Alor Setar,” katanya.

Jasanya kepada masyarakat terus dikenang

Sementara itu, Pegawai Perubatan MAHA Klinik, Dr Reshampreet Kaur berkata, Tun Dr Hasmah bukan sahaja dikenang sebagai isteri kepada seorang bekas Perdana Menteri, malah sebagai doktor yang banyak berjasa kepada masyarakat.

Menurut beliau, antara sumbangan besar Allahyarham ialah penglibatannya bersama Tun Dr Mahathir dalam program pemeriksaan kesihatan percuma di kawasan luar bandar sekitar Alor Setar.

“Tun Dr Hasmah antara individu yang turun padang bersama Tun Dr Mahathir untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan percuma kepada masyarakat, khususnya di luar bandar.

“Beliau juga merupakan antara pelopor dalam usaha berkaitan perancangan keluarga serta kesihatan ibu dan anak,” katanya.

Dr Reshampreet berkata, keprihatinan Allahyarham terhadap kesihatan suaminya turut menjadi perhatian ramai yang mengenali pasangan tersebut.

“Beliau seorang doktor yang sangat teliti dan sentiasa menjaga kesihatan Tun Dr Mahathir.

“Kami melihat sendiri bagaimana beliau sentiasa mengambil berat terhadap keadaan suaminya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!