Bapa dipenjara 13 tahun sebabkan kematian perogol anak

Tertuduh diperintahkan mahkamah menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 2 September 2024.
Tertuduh diperintahkan mahkamah menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 2 September 2024.
A
A
A

TAWAU - Seorang buruh ladang dijatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian jirannya dua tahun lalu.

Tertuduh yang juga warga asing berusia 34 tahun itu dijatuhkan hukuman oleh Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Tertuduh didakwa menyebabkan kematian mangsa yang berusia 33 tahun antara jam 7.30 malam 31 Ogos hingga tengah hari 1 September 2024 di sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kampung di sini.

Sebelum ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun kemudian digantikan dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) kanun sama.

Hukuman yang diperuntukkan penjara selama tempoh maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes yang dibacakan di hadapan mahkamah, kejadian berlaku sewaktu anak perempuan tertuduh memberitahu isterinya bahawa si mati telah merogolnya di kawasan semak semasa dalam perjalanan pulang ke rumah.

Setelah mengetahui kejadian itu, tertuduh yang berang bertindak mengambil sebilah parang dan mengejar si mati lalu melibas beberapa kali kerana mengaku tidak merogol anaknya.

Anak tertuduh yang hanya berusia 12 tahun kemudian dibawa ke Hospital Tawau bagi mendapatkan pemeriksaan dan mendapati terdapat koyakan baharu di bahagian sulitnya.

Selain itu, turut didapati Deoxyribonuclec Acid (DNA) si mati pada kuku anak tertuduh dan air mani pada seluar dalam sepadan dengan milik si mati.

Artikel Berkaitan:

Semasa rayuan, peguam tertuduh, Jhasarry P Kang memohon supaya mahkamah mengambil kira anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah, memberikan kerjasama sepanjang prosiding, tonggak ekonomi keluarga yang perlu menyara enam anaknya dan isteri.

Tambahnya lagi, kejadian itu berlaku bukan dirancang sebaliknya terjadi secara tiba-tiba dalam keadaan yang penuh emosi selepas muncul dakwaan melibatkan anak perempuan tertuduh dirogol oleh jirannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abdul Latif menegaskan, hukuman berat perlu dikenakan agar menjadi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai kerana kejadian itu sangat kejam dan mengerikan.

Tertuduh diperintahkan mahkamah menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 2 September 2024, setelah itu dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!