Bapa rogol anak sulung dipenjara 105 tahun, disebat

TAWAU - Seorang lelaki akhirnya dijatuhkan lagi hukuman penjara selama 105 tahun dan 70 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Tawau, selepas mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan merogol anak sulungnya.
Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh berusia 53 tahun mengaku salah sebaik semua pertuduhan dibacakan terhadanya di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan dikenakan pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Menurut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak kandungnya yang kini berusia 25 tahun di beberapa hotel di daerah ini antara Disember 2025 hingga Mac 2026.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan di mahkamah, mangsa gagal menolak kehendak tertuduh kerana sering diugut secara emosi dengan mengungkit pengorbanannya yang menanggung perbelanjaan keluarga serta kos pendidikan mangsa.
Siasatan turut mendapati tertuduh akan mendapatkan jadual kerja mangsa bagi mengetahui hari mangsa tidak bekerja sebelum datang dari Lahad Datu ke Tawau untuk melakukan perbuatan terkutuk tersebut.
Semasa rayuan, tertuduh menyatakan dia berasa malu dan takut menerima hukuman yang bakal dijatuhkan, selain memohon hukuman diringankan supaya berpeluang memohon maaf kepada ahli keluarganya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman maksimum dikenakan dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan terhadap anak kandung sendiri serta sifat jenayah yang dirancang.
Pendakwaan berhujah bahawa tertuduh bertindak secara terancang dengan mendapatkan jadual kerja mangsa dan mengarahkannya menempah bilik hotel sebelum datang dari Lahad Datu ke Tawau untuk melakukan perbuatan tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Md Yatin bersama Wildan Firdaus Ahmad Fazly, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum itu, pada 8 April lalu, Mahkamah Sesyen Lahad Datu turut menjatuhkan hukuman penjara 165 tahun dan 110 sebatan terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah atas 11 pertuduhan merogol dua anak kandungnya.
Dalam kes berkenaan, tertuduh didakwa merogol kedua-dua anak perempuannya yang kini berusia 25 dan 22 tahun di beberapa lokasi di Lahad Datu antara tahun 2016 hingga 2026.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
