[VIDEO] Remaja OKU didakwa sebabkan kematian ibu

A
A
A

KUALA KANGSAR – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada Rabu atas pertuduhan menyebabkan kematian ibunya di Kampung Cheh Kati dekat sini minggu lalu.

Seorang remaja (dua dari kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada Rabu kerana didakwa menyebabkan kematian ibunya di Kampung Cheh Kati di sini minggu lalu.
Seorang remaja (dua dari kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada Rabu kerana didakwa menyebabkan kematian ibunya di Kampung Cheh Kati di sini minggu lalu.

Bagaimanapun, tertuduh tidak membuat sebarang pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin memandangkan kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Nor Ainon Omar, 49, di sebuah rumah di Kampung Cheh Kati dalam daerah Kuala Kangsar kira-kira jam 2.10 petang pada 23 September lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding berkenaan, Azlin Zeti turut bertanyakan sama ada tertuduh memahami pertuduhan yang dibacakan. Namun, remaja itu yang ditemani bapanya dilihat tidak memberikan jawapan yang jelas.

Mahkamah kemudian dimaklumkan bahawa tertuduh mempunyai rekod masalah kesihatan mental dan sedang menjalani rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta.

Sehubungan itu, tiada sebarang jaminan ditetapkan terhadap tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Mirza Zulaikha Mohd Fadzly manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 22 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen berkaitan, termasuk laporan perubatan tertuduh.

ARTIKEL BERKAITAN:  Suri rumah maut: Suami masih direman, anak mangsa dihantar ke Hospital Bahagia

Suri rumah ditemui mati dengan kesan tikaman

Suri rumah maut: Sempat beritahu suami kaki dicucuk dari bawah rumah, pisau ditemui di kebun

Suri rumah maut dibunuh: Suami, anak direman bantu siasatan

Suri rumah maut: Arwah sedang kopek ikan bilis sebelum ditusuk pisau

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita orang kurang upaya (OKU) ditemukan maut dengan kesan kecederaan dipercayai akibat tikaman di rumahnya di Kampung Cheh Hilir, Kati.

Mangsa, Nor Ainon, ditemukan terbaring berlumuran darah di rumah yang didiaminya bersama suami dan tiga anak.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 2.38 petang selepas ahli keluarga menemui mangsa dalam keadaan tertiarap, tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di ruang tamu rumah.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek.

Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

Susulan insiden itu, suami serta anak mangsa turut direman bagi membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!