Pekerja kontrak selenggara jalan maut dilanggar lori

JOHOR BAHRU - Seorang pekerja kontrak penyelenggaraan jalan raya maut selepas dirempuh sebuah lori dalam kemalangan melibatkan dua buah lori di Kilometer 18.5 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisoner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima makluman jam 7.30 pagi dan mangsa warga Pakistan berusia 47 tahun sedang melakukan kerja membuat garisan jalan semasa kemalangan berlaku.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta yang belum dikenal pasti menukar lorong secara tiba-tiba dari kanan ke kiri menyebabkan sebuah lori jenis Luton dari arah Kuala Lumpur ke Skudai dipandu lelaki tempatan berusia 29 tahun di lorong kiri hilang kawalan.
"Lori itu seterusnya melanggar bahagian belakang lori jenis Hino yang berada di lorong kecemasan bagi kerja penyelenggaraan menyebabkan mangsa yang berada di belakang lori Hino mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tan berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau memohon kerjasama orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kejadian kepada pegawai penyiasat Inspektor Mohd Ruslan Mohamed menerusi talian 013-306 3710 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
