Suami isteri maut, polis cari pemandu lori

Lokasi kemalangan dan keadaan motosikal mangsa yang terlibat dalam nahas di Kilometer 1.5 Jalan Persiaran Timur di sini pada Isnin.
Lokasi kemalangan dan keadaan motosikal mangsa yang terlibat dalam nahas di Kilometer 1.5 Jalan Persiaran Timur di sini pada Isnin.
A
A
A

SEPANG - Pasangan suami isteri maut selepas motosikal ditunggang melanggar lori di Kilometer 1.5 Jalan Persiaran Timur di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, maklumat kejadian diterima pihaknya kira-kira jam 5 petang melibatkan motosikal jenis Yamaha Y15ZR dengan sebuah lori.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pasangan tersebut bergerak dari arah Dengkil menghala ke Putrajaya sebelum melanggar belakang lori.

"Berdasarkan maklumat daripada saksi bebas di lokasi kejadian, lori tersebut bertindak meninggalkan tempat kejadian susulan insiden itu.

"Penunggang motosikal ialah lelaki tempatan berusia 40-an yang bekerja sebagai juruteknik di sektor kerajaan, manakala pembonceng iaitu wanita tempatan berusia 30-an bekerja di universiti swasta," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, mangsa masing-masing mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Tambahnya, polis memohon kerjasama daripada semua saksi yang melihat kemalangan tersebut untuk tampil membantu siasatan bagi mengesan pemandu lori terbabit.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian diminta hadir di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohamad Fadzil Zainol Abidin di talian 019-6488474 atau 03-87774264," ujarnya.

Kata beliau, orang awam juga diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!