'Sekarang saya perlu membalas kenyataan ibu Ronaldo?'

Jorge Jesus. Foto AFP
Jorge Jesus. Foto AFP
A
A
A

PENGENDALI Portugal, Jorge Jesus mula hilang sabar apabila terus diasak pertanyaan mengenai persaraan Cristiano Ronaldo daripada pentas antarabangsa susulan kekalahan mengejut 1-4 kepada Denmark dalam aksi Liga Negara-Negara.

Lebih menarik, kekalahan pertama Jesus sejak mengambil alih pasukan selepas Piala Dunia itu turut mengundang kritikan ibu Ronaldo, Dolores Aveiro yang mengakui gembira melihat pengendali berkenaan tewas.

Dolores mendakwa anaknya telah diperlakukan secara tidak adil oleh bekas jurulatih Benfica itu sehingga mengambil keputusan menamatkan karier antarabangsa.

Mengulas perkara tersebut, Jesus mempersoalkan mengapa beliau masih perlu menjawab soalan berkaitan Ronaldo, terutama apabila isu berkenaan terus menjadi perhatian menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Wales pada Selasa.

"Jadi sekarang saya perlu menjawab pertanyaan daripada ibu Cristiano Ronaldo?

"Saya tidak tahu bila perkara ini akan berakhir. Jika anda bertanya, saya perlu menjawab. Jika anda bertanya mengenai Ronaldo tahun depan, saya juga akan menjawab," katanya.

Ronaldo, 41, mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan awal bulan ini selepas dilaporkan berdepan perselisihan dengan Jesus yang pernah membimbingnya ketika bersama kelab Arab Saudi, Al-Nassr.

Bekas bintang Manchester United, Real Madrid dan Juventus itu sebelum ini mendakwa Jesus tidak menunaikan janji selepas diminta melakukan pemanasan badan ketika perlawanan menentang Norway pada September, namun tidak diturunkan sebagai pemain gantian.

Ronaldo kemudian meninggalkan kem latihan pasukan sebelum dikenakan penggantungan selama 30 hari serta denda simbolik.

Walaupun beliau kemudiannya memohon maaf dan dijangka kembali menyarung jersi Portugal, pemenang lima kali Ballon d'Or itu sebaliknya memilih untuk menamatkan perjalanan antarabangsa selama 23 tahun.

Sepanjang tempoh tersebut, Ronaldo merekodkan 234 penampilan dan 146 gol, kedua-duanya merupakan rekod dunia bagi bola sepak lelaki.

Sementara itu, Jesus mengakui kekalahan kepada Denmark menyukarkan usaha pasukannya untuk kembali memberi tumpuan kepada perlawanan seterusnya apabila perhatian lebih terarah kepada isu individu berbanding prestasi keseluruhan pasukan.

"Kami bermain dalam satu perlawanan yang buruk dan lebih sukar untuk melupakannya apabila mendapat keputusan seperti itu. Namun, kami akan berusaha untuk memenangi perlawanan seterusnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!