Emas buat ibu - Eain Yow

PINGAT emas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang diraih Ng Eain Yow bukan sekadar kejayaan di gelanggang, sebaliknya hadiah paling bermakna buat insan yang menjadi sumber kekuatannya selama ini.
Pemain skuasy negara itu mendedikasikan kejayaan mempertahankan emas perseorangan lelaki kepada ibunya yang sudah lebih setahun setengah berjuang melawan penyakit kanser.
Eain Yow mengakui perjuangan ibunya menjadi pencetus semangat ketika dia perlu melalui latihan dan persaingan sebagai atlet berprestasi tinggi.
“Tiada yang lebih kuat berbanding ibu saya yang ketika ini bertarung nyawa melawan penyakit kanser sejak setahun setengah, berjuang setiap hari.
“Jadi kemenangan pingat emas ini adalah untuk ibu, keluarga saya, negara dan setiap seorang yang sentiasa berada di belakang saya,” katanya.
Eain Yow meraih emas setelah menewaskan wakil India, Abhay Singh 11-9, 11-5, 11-5 dalam aksi final Arena Nagoya Kinjo Futo pada Ahad.
Lebih menyentuh perasaan, Eain Yow berkata, perkara paling berat buat dirinya adalah apabila tidak dapat berada di sisi ibunya untuk menjaganya sepanjang tempoh berkenaan.
Ketika ditanya apakah pesanan yang mahu disampaikan kepada ibunya yang sedang menyaksikan kejayaannya, Eain Yow memberikan jawapan ringkas namun penuh makna.
“Kepada ibu, anda adalah orang paling kuat pernah saya ketahui sepanjang hidup saya,” katanya.
Kejayaan di Aichi-Nagoya turut membuka laluan baharu buat Eain Yow apabila dia boleh mengalihkan fokus kepada impian beraksi pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) yang bakal menjadi penampilan sulung skuasy di temasya berkenaan.
“Skuasy dipilih sebagai salah satu sukan yang dipertandingkan. Saya tidak akan mengambil mudah ke Sukan Olimpik kerana ramai atlet senior yang tidak mendapat peluang ini.
“Ini satu tanggungjawab besar membawa nama Malaysia ke pentas tertinggi temasya sukan. Kemenangan hari ini (Ahad) adalah permulaan kepada perjalanan ke Sukan Olimpik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
