Aichi-Nagoya 2026: Terlalu fikir podium, rekod kebangsaan jejas teknik lontaran Grace

Atlet lontar tukul besi wanita negara, Grace Wong Xiu Mei ketika beraksi pada Final acara berkenaan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Nagoya City Mizuho Park Athletic Stadium hari ini. Foto: Bernama
Atlet lontar tukul besi wanita negara, Grace Wong Xiu Mei ketika beraksi pada Final acara berkenaan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Nagoya City Mizuho Park Athletic Stadium hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KEINGINAN untuk menaiki podium selain memecahkan rekod kebangsaan menyebabkan atlet tukul besi wanita negara, Grace Wong Xiu Mei gagal mengawal debaran sehingga menjejaskan teknik lontaran pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 hari ini.

Grace yang menamatkan saingan di tempat ketujuh dengan catatan 64.15 meter (m) pada lontaran ketiga di Nagoya City Mizuho Park Athletic Stadium tetap menganggap pencapaian itu sebagai perkembangan positif selepas melalui tempoh pemulihan akibat kecederaan betis sejak Februari lepas.

"Ini musim terbaik saya (64.15m). Jadi, bagi saya ada sedikit rasa tidak puas hati sebab saya fikir untuk temasya ini saya boleh buat yang terbaik. Mungkin pecah rekod kebangsaan.

"Saya rasa terlalu mahu naik podium dan buat rekod kebangsaan. Saya gementar dan tidak dapat kawal fikiran yang terlalu mahukan perkara itu. Mungkin dari segi teknik, saya tidak begitu bagus,” katanya ketika ditemui selepas aksi final itu.

Atlet berusia 25 tahun itu berkata, peluang untuk mencabar kelompok podium sememangnya sukar, terutama apabila pingat gangsa dimenangi atlet tuan rumah Joy McArthur dengan catatan 68.42m.

"Kalau saya buat rekod kebangsaan pun, memang tiada peluang menang gangsa dengan catatan 68 meter,” katanya.

Grace berkata, catatan 64.15m itu bagaimanapun memberikan keyakinan selepas terlepas peluang beraksi pada Sukan Komanwel susulan kecederaan betis yang dialaminya sebelum temasya itu.

"Sebelum ini, saya berlatih di Ningxia, China bersama jurulatih Gu Yuan. Kemudian sebelum Sukan Komanwel, saya mengalami sedikit kecederaan dan tidak jadi pergi. Saya menjalani pemulihan dan fisioterapi dari Februari sehingga sekarang,” katanya.

Atlet kelahiran Sarawak itu berkata, keputusan untuk meneruskan latihan di China bersama Gu Yuan banyak membantunya membuat persediaan ke Sukan Asia kerana jurulatih berkenaan sudah memahami keadaan fizikal serta corak latihannya.

Artikel Berkaitan:

"Dekat Malaysia mungkin tiada jurulatih yang sesuai untuk saya. Kalau ada jurulatih baharu, kami perlu kenal antara satu sama lain dan faham proses latihan, sedangkan masa sangat singkat.

"Jadi, lebih baik saya berlatih di China dengan jurulatih saya sebelum ini kerana beliau tahu segala-galanya mengenai saya dan keadaan badan saya,” katanya.

Pingat emas acara berkenaan menjadi milik atlet China Zhang Jiale dengan catatan 78.27m yang turut menyaksikan beliau memperbaharui rekod Asia miliknya (78.22m) yang dilakukan pada kejohanan kebangsaan di Chengdu, China, April lepas manakala rakan senegaranya Zhao Jie meraih perak dengan catatan 74.83m. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!