Saingan sengit buru gelaran atlet terpantas Malaysia di Langkawi

Muhd Hafiz enggan berasa tertekan untuk mempertahankan gelaran atlet lelaki terpantas Malaysia pada IRONMAN Malaysia 2026 di Langkawi Sabtu ini.
Muhd Hafiz enggan berasa tertekan untuk mempertahankan gelaran atlet lelaki terpantas Malaysia pada IRONMAN Malaysia 2026 di Langkawi Sabtu ini.
A
A
A

GELARAN atlet lelaki terpantas Malaysia pada IRONMAN Malaysia 2026 di Langkawi, Sabtu ini, bakal menjadi rebutan tiga bekas pemenang yang kembali menguji kemampuan masing-masing dalam perlumbaan jarak penuh itu.

Muhd Hafiz Md Yusup, Mohd Fawwaz Mohd Fauzi dan Muhammad Azmir Mohd Taib masing-masing pernah merangkul gelaran berkenaan pada 2025, 2024 dan 2023.

Hafiz yang muncul atlet terpantas negara tahun lalu dengan catatan 10 jam 52 minit 02 saat, kembali dengan tekad memperbaiki rekod peribadinya.

Bagaimanapun, cabaran mempertahankan gelaran bukan perkara yang mahu diberikan tekanan kepadanya, sebaliknya dia lebih mengutamakan peningkatan prestasi berbanding pencapaian terdahulu.

"Tahun ini, saya tidak mahu meletakkan tekanan pada diri sendiri untuk mempertahankan gelaran. Sasaran utama saya adalah mempamerkan prestasi lebih baik berbanding tahun lalu. Saya mempunyai sasaran peribadi, namun lebih penting ialah melihat sejauh mana kemampuan saya ketika perlumbaan nanti," katanya.

Tahun lalu, Hafiz tetap berjaya menamatkan perlumbaan meskipun mengalami jangkitan influenza seminggu sebelum kejohanan berlangsung.

Namun, laluan untuk mengulangi kejayaan itu dijangka tidak mudah apabila turut disertai Mohamad Nur Radzman Mohamad Munib yang hanya dipisahkan tiga minit 45 saat daripadanya tahun lalu.

Radzman menamatkan perlumbaan pada kedudukan kedua dengan catatan 10:55:47, sekali gus membuktikan kemampuannya untuk mencabar kedudukan teratas.

Fawwaz pula memiliki kelebihan tersendiri selepas pernah menamatkan perlumbaan lebih seminit di hadapan Hafiz ketika muncul atlet terpantas negara pada 2024.

Azmir yang meraih gelaran pada 2023 dengan catatan 11:02:44 turut tidak boleh diketepikan selepas pernah menduduki tempat ketiga pada 2024 sebelum menamatkan saingan di kedudukan keempat tahun lalu.

Kehadiran tiga bekas juara itu turut diserikan dengan penyertaan anak jati Langkawi, Lim Chee Yong yang merekodkan masa 11:04:44 tahun lalu.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga antara peserta yang menarik perhatian selepas memperbaiki catatan peribadi daripada 13:13:39 pada 2024 kepada 12:22:18 tahun lalu.

Dalam kategori wanita, Ann Pow yang pernah dua kali muncul atlet wanita terpantas Malaysia pada 2022 dan 2024 turut kembali menghidupkan persaingan bersama Yen Chia, Mimi Ruslan, Aimi Iwasaki dan Nursyahariah Jusoh.

Turut menjadi perhatian ialah Chew Huey Ming yang meraih gelaran wanita terpantas negara pada IRONMAN 70.3 Langkawi tahun lalu.

Yen Chia pula hadir dengan rekod konsisten selepas menduduki tempat ketiga terpantas negara pada 2023 dan 2024, selain meraih tempat keempat kategori umur wanita 35 hingga 39 tahun pada IRONMAN Vietnam awal tahun ini dengan catatan 11:16:07.

Dia berkata, persiapan bagi menghadapi perlumbaan kali ini berjalan lancar dan berharap dapat memberikan aksi terbaik, sambil menyifatkan gelaran wanita terpantas negara sebagai satu bonus.

Kira-kira 1,900 atlet dari 65 negara dijangka mengambil bahagian dalam IRONMAN Malaysia dan IRONMAN 70.3 Langkawi yang berlangsung serentak.

Bagi acara jarak penuh, peserta perlu mengharungi tiga disiplin iaitu renang sejauh 3.8 kilometer (km), berbasikal 180km dan larian 42.2km.

Laluan berbasikal tahun ini turut menampilkan perubahan menerusi laluan baharu di Teluk Baru dan Jalan Bukit Malut, dengan jumlah pendakian keseluruhan sejauh 1,761 meter.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!