Rokok tidak bercukai bernilai RM739,200 dirampas, lelaki tempatan ditahan

Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan operasi merampas 1,350 karton rokok tidak bercukai.
Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan operasi merampas 1,350 karton rokok tidak bercukai.
A
A
A

SHAH ALAM – Aktiviti pengedaran rokok tidak bercukai terbongkar selepas seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun ditahan dalam serbuan di Kampung Subang Baru di sini pada Rabu.

Serbuan kira-kira jam 8 pagi itu dijalankan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman menerusi Op Taring Alpha 1.

Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, operasi terbabit hasil risikan dan pemantauan berterusan terhadap kegiatan pengedaran rokok tidak bercukai.

"Pemeriksaan di lokasi membawa kepada penahanan lelaki berkenaan yang dipercayai berperanan sebagai penghantar rokok bagi membantu siasatan.

"Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan operasi merampas 1,350 karton rokok tidak bercukai.

"Turut dirampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard, telefon bimbit Vivo Y28s serta satu kunci kenderaan Toyota," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Zaki berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM820,200, termasuk rokok bernilai RM739,200.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Beliau berkata, soal siasat awal mendapati suspek mendakwa telah terlibat sebagai penghantar rokok selama kira-kira dua tahun dan menerima bayaran RM5,000 sebulan bagi menjalankan aktiviti pengedaran rokok tidak bercukai.

Artikel Berkaitan:

"Suspek turut mendakwa menerima arahan daripada seorang lelaki warga Bangladesh," katanya.

Menurutnya, suspek bersama barangan rampasan kemudian diserahkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Mohd Zaki berkata, tindakan penguatkuasaan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman membanteras aktiviti penyeludupan dan pengedaran barangan tidak bercukai yang boleh menyebabkan ketirisan hasil negara.

"Sepanjang tempoh 1 Januari hingga Rabu, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman telah melaksanakan 268 serbuan di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, seramai 455 individu ditahan atas pelbagai kesalahan membabitkan penyeludupan barangan tidak bercukai, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penyeludupan hidupan liar serta operasi berkaitan e-waste," katanya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan nilai rampasan yang direkodkan bagi tempoh sama dianggarkan RM330,695,346.76.

Katanya, kejayaan Op Taring Alpha 1 menunjukkan komitmen WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman memperkukuhkan tindakan penguatkuasaan menerusi pendekatan risikan, siasatan dan operasi bersepadu.

"WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman akan mempergiatkan tindakan penguatkuasaan serta risikan bagi mengenal pasti dan memutuskan rangkaian penyeludupan, termasuk menjejaki pihak yang membekalkan, menyimpan, mengangkut dan mengedar barangan tidak bercukai.

"Kerjasama daripada masyarakat turut dialu-alukan dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dan pengedaran barangan tidak bercukai kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!