Isu New Age Movement: Pas Sabah gesa Marhamah letak jawatan

KOTA KINABALU - Pas Sabah menggesa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, supaya meletakkan jawatan sekiranya penelitian pihak berkuasa agama mengesahkan penglibatan atau sokongannya terhadap fahaman New Age Movement yang bercanggah dengan akidah Islam.
Pesuruhjaya Pas Sabah, Datuk Aliakbar Gulasan berkata, isu yang mengaitkan beliau dengan fahaman berkenaan bukan perkara remeh, apatah lagi apabila melibatkan seorang pemimpin yang memegang amanah dalam portfolio hal ehwal agama.
"Jawatan tersebut menuntut komitmen yang jelas dalam memelihara kesucian akidah serta keyakinan umat Islam terhadap kepimpinan agama negara.
"Pas Sabah mengambil maklum penafian dan penjelasan yang dikemukakan berhubung isu ini. Namun, penelitian menyeluruh berasaskan bukti yang sahih dan disiplin ilmu perlu dilaksanakan oleh pihak berkuasa agama bagi memastikan kedudukan sebenar perkara ini dapat dipastikan.
"Sekiranya dakwaan tersebut terbukti, peletakan jawatan merupakan langkah yang wajar. Jika beliau enggan berbuat demikian, Perdana Menteri hendaklah mengambil tindakan menyingkirkan beliau daripada jawatan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai berkata, dalam era digital dan kecerdasan buatan (AI), pelbagai fahaman kerohanian mudah tersebar dengan berselindung di sebalik istilah pembangunan diri, motivasi dan pencarian ketenangan jiwa.
"Generasi muda Sabah khususnya perlu dilindungi daripada kekeliruan yang boleh menggugat pegangan akidah mereka," katanya.
Dalam pada itu, Aliakbar berkata, Pas Sabah menegaskan bahawa pegangan Ahli Sunah Waljamaah yang telah diwartakan di Sabah perlu terus dipertahankan sebagai panduan umat Islam, merangkumi tiga teras utama iaitu akidah dan tauhid, fikah dan syariah serta tasawuf.
"Pegangan ini bukan sekadar warisan keilmuan, tetapi benteng yang memelihara kemurnian akidah dan membimbing kehidupan umat Islam.
"Justeru, Pas Sabah menggesa kerajaan negeri, pihak berkuasa agama, institusi pendidikan, masjid dan ibu bapa agar memperkukuh pendidikan akidah serta membimbing generasi muda supaya tidak mudah terpengaruh dengan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam," katanya.
Tegasnya lagi, amanah dalam portfolio hal ehwal agama menuntut bukan sahaja keupayaan pentadbiran, tetapi juga keyakinan masyarakat terhadap kesungguhan seseorang pemimpin dalam mempertahankan agama.
"Kepentingan jawatan dan pertimbangan politik tidak boleh mengatasi kepentingan akidah umat Islam.
"Pas Sabah tidak berhasrat menjadikan isu ini medan fitnah atau menghukum sesiapa berdasarkan persepsi.
"Namun, ketegasan mempertahankan akidah mesti disertai tindakan yang jelas apabila sesuatu pelanggaran dibuktikan. Penjelasan mesti diberikan, penelitian mesti diselesaikan dan tanggungjawab mesti dipikul.
"Kita tidak mahu generasi muda, khususnya di Sabah, terumbang-ambing dalam arus pelbagai fahaman yang mengelirukan.
"Mereka mesti dibekalkan dengan ilmu yang sahih dan kefahaman tauhid yang teguh, agar kemurnian akidah terus terpelihara dan agama sentiasa terbela," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
