Kerajaan nafi layanan berbeza dalam tindakan terhadap isu ajaran bercanggah akidah

Zulkifli
Zulkifli
A
A
A

IPOH - Kerajaan menafikan dakwaan wujud amalan layanan berbeza dalam mengambil tindakan terhadap ajaran yang didakwa menyeleweng daripada akidah Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa mempertahankan kesucian akidah umat Islam dan sebarang dakwaan berkaitan ajaran yang bercanggah dengan akidah akan disiasat sebelum tindakan selanjutnya diambil.

"Tak ada (layanan berbeza). Kita memang mempertahankan kesucian akidah umat Islam. Insya-ALLAH kita akan teruskan dengan melakukan segalanya untuk memastikan kesucian dan kemuliaan akidah umat Islam di Malaysia,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas melihat pelaksanaan Program Transformasi Digital Institusi Pendidikan Islam (Digital IPI), termasuk pemanfaatan kemudahan Digital Maker Hub (DMH) di Pondok Darul Furqan di sini pada Isnin.

Zulkifli berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak yang mempersoalkan tindakan kerajaan berhubung fahaman New Age Movement (NAM) termasuk membandingkannya dengan tindakan terhadap Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISB) sebelum ini.

Selain itu, beliau menegaskan sebarang dakwaan terhadap mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang disyaki mengamalkan atau mengikuti fahaman berkenaan akan disiasat oleh pihak berkuasa sebelum tindakan lanjut diambil.

Pada Ahad, dalam perkembangan berkaitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengadakan pertemuan dan sesi tabayyun bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu ajaran NAM yang turut dikaitkan dengannya.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, sesi itu melibatkan Mufti Wilayah Persekutuan, Panel Pakar Akidah (PPA) Jakim serta pihak berkaitan bagi memastikan perkara tersebut diteliti dari sudut disiplin akidah, autoriti agama dan latar pemikiran NAM. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!