Kes KLVC: Bekas pengarah besar Felda didakwa esok

KUALA LUMPUR - Bekas pengarah besar Felda yang sebelum ini disiasat berhubung penyelewengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini esok.
Berdasarkan semakan sistem mahkamah, lelaki itu dijadual didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah 14 di hadapan Hakim Suzana Hussin pada 9 pagi.
Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan pihaknya telah mendapat izin untuk mendakwa bekas pengarah besar Felda berkenaan.
Pada 25 September lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, individu itu akan berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Siasatan berkaitan KLVC merupakan sebahagian daripada tujuh kertas siasatan membabitkan Felda dan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), merangkumi enam kertas siasatan baharu serta satu kes lama.
Siasatan itu memberi tumpuan kepada pembelian dan pelaburan aset oleh Felda serta FIC antara 2010 hingga 2020 yang disyaki mempunyai unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
